mattzzx Publish time 28-11-2022 11:06 AM

Pendekatan dakwah baru JHEAINS

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/door_1669604420.jpg
PASUKAN JHEAINS turun padang menyampaikan sumbangan kepada keluarga yang ditimpa bencana sebagai cara berdakwah. FOTO ihsan JHEAINS

Seremban: Berbanding menganjurkan ceramah agama di masjid, Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) kini mengambil pendekatan dakwah baru dengan mengunjungi rumah ke rumah termasuk penduduk bukan Islam di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Zaidi Ramli berkata, bermula 2020 sehingga Julai 2022, JHEAINS sudah berkunjung ke 11,278 rumah merentasi kaum dan agama.

"Ia selaras dengan visi 'Pemangkin Ummah Sejahtera', jabatan mengubah pendekatan program daripada bersifat pengisian pengajian ilmu semata-mata kepada program menyantuni masyarakat secara bersemuka melalui aktiviti turun padang, Program 'Door to Door'.

"JHEAINS turut menyantuni masyarakat bukan Muslim dengan membawa mesej perpaduan dan keharmonian dalam negara yang terdiri daripada pelbagai etnik dan agama," katanya.

Beliau berkata, program itu turut diisi dengan membantu keluarga yang ditimpa bencana melalui Pasukan Sukarelawan Masjid Negeri Sembilan (SUKMAS) yang ditubuhkan dengan sokongan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

"Pasukan ini bergerak hasil sumbangan daripada masyarakat yang sehingga kini sudah membelanjakan lebih RM300,000 untuk membantu masyarakat yang dalam kesusahan," katanya.

Menurutnya, JHEAINS ketika dalam tempoh endemik adalah agensi agama yang memberikan perkhidmatan pengurusan jenazah berisiko Covid-19 tanpa sebarang bayaran kepada waris.

"Sepanjang tempoh itu, JHEAINS menguruskan 1,050 jenazah bermula dari forensik hospital sehingga ke pengebumian.

"Malah, JHEAINS mengadakan siaran langsung melalui Facebook rasmi jabatan bagi memberi peluang kepada keluarga untuk melihat sesi pengurusan jenazah berikutan mereka tidak dibenarkan hadir atas sebab keselamatan.

"JHEAINS juga dalam tempoh itu membuka bilik gerakannya 24 jam untuk terus memberi khidmat walaupun dalam tempoh kawalan pergerakan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/11/909057/pendekatan-dakwah-baru-jheains
Pages: [1]
View full version: Pendekatan dakwah baru JHEAINS


ADVERTISEMENT