YgBenar Publish time 28-11-2022 05:18 AM

Kerana kerakusan ahli ahli politik,Mujur Agong berjaya mengemudi negara mengharungi tiga krisis politik

KEMELUT politik yang melanda negara selama enam hari yang membabitkan pembentukan kerajaan selepas berlangsungnya Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) telah menonjolkan peranan yang penting dalam negara iaitu Yang di-Pertuan Agong.

Sejak Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ditabalkan yang ke-16 pada 30 Julai 2019, Seri Paduka Baginda telah berdepan dengan tiga krisis politik iaitu peralihan kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN) pada 1 Mac 2020, peralihan kerajaan PN kepada kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN) pada 21 Ogos 2021, dan yang terkini iaitu kemelut pembentukan kerajaan persekutuan susulan PRU15 akibat Parlimen tergantung.

Namun, Seri Paduka Baginda berjaya mengemudi negara mengharungi ketiga-tiga krisis politik tersebut dalam tempoh yang singkat. Kejayaan ini dapat disandarkan kepada beberapa kualiti kepimpinan dan peranan yang dimainkan oleh Tuanku.

Bagi menjalankan kuasa Yang di-Pertuan Agong dengan adil dan berkesan, Seri Paduka Baginda kekal neutral dan berada di atas politik kepartian.

Pendirian neutral ini penting bagi mengelakkan legitimasi kerajaan yang dilantik daripada dipertikaikan oleh rakyat.

Pendirian ini dapat dilihat apabila Al-Sultan Abdullah mengadakan pertemuan dengan ketua gabungan parti-parti politik dan ketua parti-parti politik serta ahli-ahli Dewan Rakyat bagi melantik Perdana Menteri susulan Langkah Sheraton dan tumbangnya kerajaan PN.

Dalam kes ‘Parlimen tergantung’, Seri Paduka Baginda turut mengadakan pertemuan dengan ketua gabungan PH dan PN serta wakil BN dan GPS.

Menurut Seri Paduka Baginda, tidak ada gabungan parti yang mempunyai majoriti mudah pada pertemuan awal Seri Paduka Baginda dengan ahli-ahli Dewan Rakyat bagi ketiga-tiga krisis politik.

Situasi ini menunjukkan bahawa Seri Paduka Baginda bersikap neutral dan hanya memihak kepada gabungan politik yang pada keyakinan Seri Paduka Baginda mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Kebijaksanaan Seri Paduka Baginda dalam krisis politik ini dapat dilihat melalui kaedah penentuan bagi perolehan kepercayaan majoriti.

Dalam krisis-krisis politik di atas, ketua gabungan parti-parti politik masing-masing mengumumkan bahawa mereka mempunyai majoriti mudah melalui perolehan akuan bersumpah (SD) daripada ahli-ahli Dewan Rakyat.

Namun, sebilangan SD ini saling bertindan antara dua kumpulan SD yang dihantar kepada Seri Paduka Baginda. Situasi ini mendorong Seri Paduka Baginda untuk mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Dewan Rakyat bagi mengesahkan SD meskipun kaedah ini akhirnya turut gagal membentuk kerajaan.

Dalam kes ‘Parlimen tergantung’, kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah terserlah apabila cadangan dan nasihat Seri Paduka Baginda tentang pembentukan kerajaan perpaduan diterima oleh majoriti gabungan parti-parti politik sekaligus menamatkan kekusutan pembentukan kerajaan baharu.

Dalam krisis ‘Parlimen tergantung’, Seri Paduka Baginda turut memainkan peranan yang penting sebagai ‘Pendamai Nasional’ apabila Seri Paduka Baginda mencadangkan pembentukan kerajaan perpaduan.

Melalui cadangan ini, Seri Paduka Baginda mahu supaya semua gabungan parti-parti politik menghentikan perbalahan dan berdamai serta bersatu membentuk sebuah kerajaan yang stabil, inklusif dan padu.

Tanpa cadangan Seri Paduka Baginda ini, Barisan Nasional (BN) yang berperanan sebagai ‘King Maker’ dalam pembentukan kerajaan susulan PRU15, akan terus kekal neutral dan berfungsi sebagai pembangkang.

Tanpa kerjasama BN secara en bloc, kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan terbentuk. Bukan itu sahaja, cadangan Seri Paduka Baginda ini juga mengubah pendirian Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) kepada menganggotai kerajaan perpaduan.

Tanpa campur tangan Agong sebagai ‘Pendamai Nasional’, situasi ‘Parlimen Tergantung’ akan terus menjerumuskan negara ke dalam krisis politik yang berpanjangan sekaligus menjejaskan agenda pembangunan negara yang genting dan lebih mencabar dalam konteks ekonomi-politik antarabangsa yang dinamik dan tidak menentu.

Tuntasnya, kualiti kepimpinan dan peranan penting yang dimainkan oleh Seri Paduka Baginda telah berjaya membawa negara keluar dari tiga krisis politik yang membabitkan ketidakstabilan kerajaan dan kesukaran pembentukan kerajaan.

Kepusatan dan peranan Yang di-Pertuan Agong dalam politik negara perlu diwar-warkan dan ditonjolkan agar rakyat dapat memahami dan menghayati konsep Raja Berperlembagaan yang penting bagi menjamin kestabilan dan kemakmuran Malaysia. Daulat Tuanku!

*Dr Zaharul Abdullah merupakan Pensyarah Program Pengajian Polisi, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu.

Kemaruk-Taikk Publish time 1-12-2022 01:40 PM

Baca kisah Mahsuri.. begitu lah perangai Melayu!
Pages: [1]
View full version: Kerana kerakusan ahli ahli politik,Mujur Agong berjaya mengemudi negara mengharungi tiga krisis politik


ADVERTISEMENT