mattzzx Publish time 27-11-2022 03:31 PM

Pemborong hanya memberi dua papan telur sahaja - Peniaga

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/p%5Bp_1669532015.jpg
Tinjauan yang dilakukan di beberapa kedai runcit dan pasar borong di sekitar Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong mendapati bekalan telur dan minyak masak paket sudah kehabisan di semua lokasi yang ditinjau. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Kota Bharu: Bekalan telur ayam dan minyak masak peket masih belum pulih sepenuhnya di negeri ini sekali gus menyebabkan peniaga dan pengguna terus terbeban.

Tinjauan di beberapa kedai runcit dan pasar borong di sekitar Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong mendapati bekalan telur ayam serta minyak masak peket sudah kehabisan di semua lokasi yang ditinjau.

Peniaga kedai makan, Juraidah Anwar, 45, berkata, masalah bekalan telur ayam buat masa sekarang memang agak sukar untuk diperoleh selain harganya juga mahal apabila dijual RM16.50 sepapan berbanding sebelum ini hanya RM12 sepapan.


"Walaupun harga sepapan telur agak mahal, namun saya tidak menaikkan harga makanan kerana kasihan kepada pelanggan meskipun untung yang diperoleh tidak banyak apatah lagi dengan kenaikan harga barang.

"Dalam sehari saya memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga empat papan telur untuk menyediakan masakan panas serta mi celup dan ada kalanya kedai runcit dan borong kehabisan telur.

"Malah ada juga peniaga yang mengambil kesempatan dengan meletakkan syarat supaya membeli sekilogram gula untuk mendapatkan satu peket minyak masak atau sepapan telur," katanya ketika ditemui di RTC Tunjong, di sini, hari ini.

Seorang lagi pengguna Liza Muhamad, 35, berkata, kekurangan bekalan telur dan minyak masak peket sudah berlarutan sejak empat bulan lalu dan hanya di sesetengah tempat sahaja bekalannya senang untuk diperoleh.

"Di kedai-kedai runcit kebanyakan bekalan telur dan minyak masak paket sudah lama mengalami masalah kekurangan bekalan dan yang paling terkesan adalah peniaga goreng pisang yang amat memerlukannya.

"Dalam masa sama, bekalan minyak masak paket juga tidak semua senang diperoleh di pasar raya dan sesetengah pasar raya sahaja yang mempunyai bekalan itupun tidak banyak," katanya.

Sementara itu peniaga kedai runcit, Nurul Amira Mohd Nasir, 33, berkata, bekalan telur sukar diperoleh berbanding minyak masak peket namun dia tidak pernah menjual barang keperluan itu secara catu kepada pelanggan yang datang ke kedainya.

"Walaupun ada pelanggan yang membuat tempahan awal untuk mendapatkan bekalan telur, namun saya tidak mengambilnya, mereka perlu datang terus ke kedai untuk membelinya.

"Pada masa, pemborong juga hanya memberi dua papan telur sahaja dan saya tidak dibenarkan membeli lebih daripada apa sudah ditetapkan dan kebanyakan pelanggan yang datang ke kedai merungut kerana telur yang dijual cepat habis.

"Harapan saya supaya kerajaan menyelesaikan isu bekalan minyak masak paket dan telur sebaik yang mungkin kerana ia menyusahkan peniaga dan juga pengguna," katanya
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/11/908805/pemborong-hanya-memberi-dua-papan-telur-sahaja-peniaga
Pages: [1]
View full version: Pemborong hanya memberi dua papan telur sahaja - Peniaga


ADVERTISEMENT