mattzzx Publish time 27-11-2022 02:06 PM

Kos operasi tinggi punca pendaratan ikan kurang di Tok Bali

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/1127rsikan_1669528937.jpg
FOTO HIASAN

Kota Bharu: Kos operasi yang tinggi menyebabkan pengusaha bot laut dalam tidak bersedia untuk menambah bot sekali gus menyebabkan penurunan pendaratan ikan di Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali, dekat Pasir Puteh.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau Dan Alam Sekitar negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, berdasarkan pemerhatian Jabatan Perikanan Negeri Kelantan, penurunan nilai mata wang ringgit bukanlah faktor utama yang menjejaskan atau mempengaruhi bilangan pendaratan bot nelayan di Tok Bali.

Sebaliknya beliau berkata, faktor lain adalah disebabkan oleh kadar lesen aktif semakin berkurang dan sukar diperbaharui ekoran kekurangan kru yang mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan kapal sedia ada sudah lama.



"Bagi mengatasi masalah itu, kerajaan Kelantan memperuntukkan sebanyak RM975,000 tahun ini.

"Peruntukan berkenaan bagi membantu dan meringankan kos nelayan dalam sektor perikanan dan juga ternakan akuakultur," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selising berkata demikian sebagai menjawab soalan Wan Hassan Wan Ibrahim (Pas- Semerak) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim, hari ini, berkenaan tindakan kerajaan untuk mengatasi masalah kekurangan pendaratan ikan di Tok Bali.

Tuan Mohd Saripudin berkata, bagi tahun ini, Jabatan Perikanan mensasarkan sebanyak 61,000 metrik tan pendaratan ikan.

"Sehingga September lalu, pendaratan ikan yang direkodkan bagi empat daerah menunjukkan prestasi yang positif ke arah mencapai sasaran tahunan.

"Kerajaan juga berharap penyelesaian secara lebih holistik dapat diambil bersama dengan Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam menghadapi cabaran ini antaranya memperbanyakkan kembali lesen laut dalam dan dibuka semula lesen zon tradisi C serta B," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/11/908786/kos-operasi-tinggi-punca-pendaratan-ikan-kurang-di-tok-bali
Pages: [1]
View full version: Kos operasi tinggi punca pendaratan ikan kurang di Tok Bali


ADVERTISEMENT