mattzzx Publish time 27-11-2022 01:38 PM

Jual ayam penelur punca bekalan telur tiada

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2022/11/telur-kurang-2048x1498.jpg
Orang ramai melihat bekalan telur yang diletakkan di ruangan jualan di sebuah premis baru-baru ini.



GEORGE TOWN – Tindakan pihak peladang yang dikatakan terdesak menjual ayam penelur menjadi punca bekalan sumber makanan itu semakin berkura­ngan di pasaran sehingga melonjak pada harga yang tinggi.

Pegawai Penyelidik Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N.V Subbarow berkata, permintaan tinggi dalam kalangan pengguna di negara ini terhadap bekalan ayam segar telah memaksa penjualan ayam penelur berlaku di peringkat peladang.

Menurutnya, peladang dikatakan tiada pilihan lain bagi memenuhi kehendak pembekal dan pengilang ketika pengguna kini terdesak memerlukan sumber protein tersebut.

“Peniaga memaklumkan ayam bertelur kini semakin kurang di ladang ekoran rakyat Malaysia kini banyak memilih makan ayam daripada sumber lain.

“Ayam-ayam penelur habis dijual di pasaran sehingga memberi kesan terhadap pengeluaran dan penjualan telur. Ini antara kemungkinan punca berlakunya krisis bekalan telur ketika ini,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Subbarow memberitahu, pihaknya menggesa Jabatan Pertanian menggalakkan para peladang membekalkan lebih banyak telur ayam di ladang selain tidak membenarkan penjualan ayam penelur kepada pihak pengilang mahupun pembekal.

“Telur adalah satu zat yang diperlukan manusia dalam kehidupan harian. Justeru, kita meminta kerajaan perpaduan agar menyelesaikan isu tersebut termasuk barangan keperluan lain yang berkaitan dalam kadar segera demi kesejahteraan hidup rakyat” tambahnya.

Pada 23 November lalu, Kos­mo! melaporkan rata-rata peniaga kecil makanan termasuk penjaja tepi jalan di negeri ini semakin terdesak untuk mendapatkan bekalan telur ayam, selain terpaksa berdepan kenaikan mendadak bagi kesemua gred barangan asas itu.

Keadaan itu dikatakan berlaku sejak awal bulan ini dan menjadi semakin ‘tenat’ akhir-akhir ini.
https://www.kosmo.com.my/2022/11/27/jual-ayam-penelur-punca-bekalan-telur-tiada/
Pages: [1]
View full version: Jual ayam penelur punca bekalan telur tiada


ADVERTISEMENT