mattzzx Publish time 27-11-2022 01:32 PM

MetMalaysia ramal banjir di beberapa negeri minggu depan

https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/TERKESAN-BANJIR.jpg
LANGKAH-LANGKAH seperti menaik taraf dan membaik pulih sistem perparitan perlu diambil bagi mengelakkan kejadian banjir seperti yang melanda di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor tahun lalu berulang. - MINGGUAN/AFIQ RAZALI


27 November 2022, 7:23 am

PETALING JAYA: Orang ramai terutama penduduk di Pantai Barat perlu berwaspada dan bersiap sedia dengan bencana banjir yang diramal melanda 29 November ini sehingga awal tahun depan.

Ketua Pengarah MET Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, taburan hujan yang tinggi diramal melanda beberapa negeri dan berdasarkan analisis model cuaca angin di rantau negara, ia dijangka bertiup lemah dari pelbagai arah sekali gus berpotensi menyebabkan ribut petir serta hujan lebat dan angin kencang.

“Mulai 29 November ini, angin kencang timuran dijangka mendominasi rantau negara. Sehubungan itu, ribut petir serta hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di negeri-negeri pantai timur Semenanjung serta utara dan timur Sabah pada sebelah pagi.

“Pada sebelah petang hingga ke awal malam pula, ribut petir serta hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di negeri-negeri pantai barat Semenanjung, pedalaman Sarawak dan barat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Hafizudin Nasarudin berkata, bagi mengurangkan masalah banjir, kerajaan perlu mengambil inisiatif dalam menaik taraf dan membaik pulih sistem perparitan serta saliran.

Menurutnya, bagi jangka masa panjang, kerajaan perlu fokus terhadap sistem baik pulih saliran kerana negara masih tidak mempunyai pengurusan yang cekap untuk menghadapi situasi banjir yang semakin kerap berlaku.

“Sekarang ni hujan makin lebat dan ekstrem. Kerajaan perlu mengetatkan lagi penguatkuasaan terhadap aktiviti pembangunan yang sensitif contohnya pembangunan di tebing-tebing sungai.

“Saya harap akan ada peruntukan yang lebih bagi menangani masalah banjir ini selain tubuhkan satu pasukan kecemasan khas yang betul-betul cekap dan berilmu supaya mangsa banjir dapat diselamatkan dengan lebih pantas,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Sahabat Alam Sekitar Malaysia (SAS), Datuk Abdul Malek Yusof berkata, pendalaman sungai perlu dilakukan supaya terusan-terusan air dapat dikeluarkan dengan kapasiti yang maksimum dan cepat.

“Sekarang ini, kebanyakan sungai cetek, saliran-saliran air pun kecil dan kadangkala tiada,. Walaupun ada penyelenggaraan, mereka tidak buat secara sepenuhnya, jadi perkara itu boleh menyebabkan masalah pada sistem perparitan kita.

“Saya harap kerajaan ambil langkah untuk mengatasi masalah banjir ini kerana kita tidak mahu apa yang berlaku pada tahun lepas di Taman Sri Muda, Shah Alam berulang,” katanya. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasional/2022/11/metmalaysia-ramal-banjir-di-beberapa-negeri-minggu-depan/
Pages: [1]
View full version: MetMalaysia ramal banjir di beberapa negeri minggu depan


ADVERTISEMENT