mattzzx Publish time 27-11-2022 01:13 PM

Suami isteri ditahan edar dadah

Tumpat: Polis menahan sepasang suami isteri dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM14,330 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Baiduri, di sini, awal pagi semalam.

Serbuan pada jam 1.30 pagi itu dijalankan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat serta pasukan ronda cegah jenayah.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, ketika serbuan, suami isteri itu berada di ruang tamu dalam keadaan mencurigakan.

"Pada awalnya, kedua-dua suspek enggan memberikan kerjasama dan lelaki itu cuba melarikan diri namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.

"Hasil pemeriksaan lanjut menjumpai 13 biji pil kuda, heroin (29 gram) dan ganja (14 gram) dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM14,330," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Amran berkata, pihaknya juga membuat sitaan wang tunai berjumlah RM9,837, sebuah Perodua Myvi, sebuah motosikal Honda Vario 150, dua utas gelang tangan dan tiga bentuk cincin.

Katanya, ujian saringan mendapati suspek lelaki yang berumur 41 tahun positif dadah jenis opiate serta mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah manakala wanita itu pula negatif.

"Mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 2 Disember untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952, Seksyen 6 ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/11/908755/suami-isteri-ditahan-edar-dadah
Pages: [1]
View full version: Suami isteri ditahan edar dadah


ADVERTISEMENT