sfhzuraz Publish time 27-11-2022 10:37 AM

'Tak perlu usul undi percaya, PH ada majoriti besar'

'Tak perlu usul undi percaya, PH ada majoriti besar'

Oleh Audrey Dermawan - November 27, 2022 @ 10:18am   bhnews@bh.com.my



https://assets.bharian.com.my/images/articles/1121rsphbn_1669515524.jpg
Foto fail NSTP



GEORGETOWN: Tiada keperluan bagi mengemukakan usul undi percaya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat, 19 Disember ini bagi membuktikan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor daripada DAP, Ramkarpal Singh, berkata ini kerana sudah jelas Perdana Menteri itu memperoleh majoriti besar melebihi 140 kerusi.
Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) kini diyakini mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen dengan sokongan daripada Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Apatah lagi, katanya, dengan pengesahan daripada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang akan memainkan peranan sebagai pembangkang, tiada keperluan bagi mengusulkan undi percaya itu.
"Undi percaya perlu dilakukan apabila wujud keraguan sama ada kerajaan mempunyai majoriti di Parlimen, contohnya ketika PN berkuasa selepas pasca Langkah Sheraton, dua tahun lalu.
"Dalam keadaan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Perdana Menteri ketika itu) sepatutnya berbuat demikian kerana tidak jelas sama ada beliau memperoleh sokongan sekurang-kurangnya 112 Ahli Parlimen.
"Namun kegagalan pemimpin berkenaan berbuat demikian wajar mengundang kritikan ketika itu.
"Kita faham, usul undi percaya itu mahu dilakukan Anwar sebelum Muhyiddin mengakui PH mempunyai jumlah kerusi mencukupi, namun selepas PN bersedia menjadi pembangkang, sudah tiada keperluan ke arah itu lagi," katanya.
Ramkarpal berkata, sidang pertama Dewan Rakyat seharusnya menumpukan kepada Bajet 2023 daripada membuang masa bagi tujuan usul undi percaya.
Selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Khamis lalu, Anwar dilaporkan berkata, pembentangan usul undi percaya, adalah antara agenda sidang Dewan Rakyat pada 19 Disember ini.
Usul percaya itu bagi membuktikan keabsahan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat terhadap Anwar, sekali gus memperkukuh kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Ia susulan Muhyiddin meminta Anwar membuktikan bahawa Pengerusi PH berkenaan mempunyai sokongan majoriti.
Pada masa sama, Ramkarpal berkata dari sudut sejarah, keperluan untuk mengusulkan undi percaya adalah berpandukan kepada konvensyen perlembagaan seperti berlaku di United Kingdom dan negara Komanwel lain.
Katanya, ia mengambil contoh bagaimana Boris Johnson terselamat daripada undi percaya pada Jun 2022 dengan memperoleh majoriti 59 peratus ahli Parlimen daripada partinya untuk beliau kekal sebagai ketua mereka, manakala Theresa May bernasib baik dengan memperoleh 63 peratus pada 2018.
Beliau berkata, dalam kedua-dua kes itu, adalah jelas bahawa Johnson dan May tidak mempunyai majoriti yang selesa, dan oleh itu, terdapat keperluan untuk menguji sokongan mereka dengan usul sedemikian.

sumber




Pages: [1]
View full version: 'Tak perlu usul undi percaya, PH ada majoriti besar'


ADVERTISEMENT