mattzzx Publish time 26-11-2022 03:35 PM

Kesibukan laksana tugas ADUN tak halang impian genggam ijazah sarjana

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/hm229utm_1669444667.jpg
DATUK Ruslan Muharam ditemani isteri, Datin Nursiah Santri di Majlis Konvokesyen UTMSPACE 2022. FOTO Mary Victoria

Johor Bahru: Usia dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat tidak menjadi penghalang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam, 60, merealisasikan impian menggenggam ijazah sarjana.

Hari ini beliau menerima Ijazah Sarjana Profesional Sains Politik di Majlis Konvokesyen UTMSPACE 2022 sempena Konvokesyen Ke-66 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Dewan Sultan Iskandar di sini.

Bapa kepada lima anak serta mempunyai 14 cucu itu berkata, dia amat gembira kerana dapat menamatkan pengajian biarpun menghadapi pelbagai cabaran terutama membabitkan tugasan dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Menurutnya, dia yang mendaftar pengajian sarjana pada 2020 bagaimanapun menggunakan waktu yang terluang ketika pandemik Covid-19 dengan sebaik mungkin bagi mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Katanya, isterinya, Datin Nursiah Santri, 57, serta ahli keluarga turut menjadi pendorong supaya dia mengejar impian bagi mempertingkatkan tahap akademiknya.

"Saya melanjutkan pelajaran untuk kepuasan diri sendiri kerana saya seronok apabila dapat memperbaiki pencapaian akademik.

"Antara cabaran dihadapi ketika mengikuti pembelajaran ialah apabila kawasan saya dilanda banjir kilat dan baru-baru ini pula Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun saya berjaya menyiapkan tugasan pengajian dalam tempoh ditetapkan.

"Bagi saya usia bukan suatu alasan untuk menimba ilmu dan saya berharap semua golongan terutama belia menggunakan peluang yang ada untuk menaik taraf kehidupan masing-masing terutama dari segi akademik.

"Semangat saya mahupun golongan warga emas yang bersungguh-sungguh untuk melanjutkan pengajian seharusnya dijadikan sebagai inspirasi oleh golongan muda.

"Ibu bapa perlu mengambil berat soal pembelajaran anak-anak dari usia muda kerana pendidikan amat penting dalam menjamin kehidupan seseorang," katanya ketika ditemui.

Seramai 744 graduan yang terdiri daripada 173 graduan sarjana profesional, 509 graduan diploma profesional serta 62 diploma eksekutif diraikan di Dewan Sultan Iskandar UTM di sini, hari ini.

Graduan berkenaan adalah penuntut daripada 32 Rakan Kerjasama UTMSPACE dan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR).

Majlis penyampaian disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif UTMSPACE Profesor Dr Nazri Ali, Pegawai-pegawai Kanan Universiti, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah UTMSPACE, Pengarah Urusan dan wakil-wakil rakan kerjasama UTMSPACE.

Kebanyakan graduan yang memohon program di UTMSPACE terdiri daripada golongan yang sudah berkerjaya dan terbabit secara langsung dalam industri.

Menerusi pengalaman kerja yang sedia ada, penganugerahan ini adalah sebuah nilai tambah bagi graduan-graduan untuk meningkatkan kualiti dan status sosial ekonomi mereka pada masa akan datang.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/11/908514/kesibukan-laksana-tugas-adun-tak-halang-impian-genggam-ijazah-sarjana
Pages: [1]
View full version: Kesibukan laksana tugas ADUN tak halang impian genggam ijazah sarjana


ADVERTISEMENT