mattzzx Publish time 26-11-2022 01:56 PM

Lebih 100 ubur-ubur putih muncul di Pantai Batu Hitam

https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2022/11/26/2000852.jpeg
Ubur-ubur putih dikesan di Pantai Batu Hitam oleh petugas pantai pada Jumaat. (Gambar kecil: Norisman)



KUANTAN - Lebih 100 ekor ubur-ubur putih dikesan muncul di pesisir Pantai Batu Hitam di sini oleh petugas Angkatan Pertahanan Awam (APM) di pusat peranginan itu sekitar jam 7 petang pada Jumaat.

Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuantan, Leftenan Norisman Idris berkata, kemunculan haiwan terbabit disedari ketika petugas pantai melakukan latihan di pesisiran pantai terbabit.

Menurutnya, susulan itu salah seorang petugas turut tercedera apabila terkena sengatan haiwan terbabit.

“Pagi tadi (Sabtu) kita telah melakukan tinjauan dan mendapati tiada ubur-ubur muncul seperti yang berlaku petang semalam (Jumaat).

“Namun begitu, kita tetap mengambil langkah berjaga-jaga dan jika terdapat kemunculan ubur-ubur di kawasan ini, papan tanda amaran akan diletakkan dan bendera merah akan dinaikkan," katanya ketika ditemui di Pantai Batu Hitam pada Sabtu.

Beliau menjelaskan, lima petugas pantai akan memberi peringatan kepada pengunjung supaya tidak menghampiri kawasan pantai kerana bimbang akan terkena sengatan ubur-ubur.

Norisham berkata, kemunculan sekumpulan ubur-ubur itu sekitar 10 meter di pesisiran pantai Batu Hitam dan merupakan kejadian kedua berlaku pada tahun ini.

    “Ubur-ubur putih ini sejenis yang beracun dan jika terkena sengatan boleh mengakibatkan mangsa perlu dibawa rawat ke hospital.



“Tapi haiwan ini kurang berbahaya jika dibandingkan dengan ubur-ubur merah dan kemunculannya adalah perkara biasa terutama ketika musim tengkujuh,” katanya.

Dalam pada itu, Norisman berkata, setakat ini kehadiran ubur-ubur itu hanya dikesan di Pantai Batu Hitam sahaja.


https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2022/11/26/2000851.jpeg
Norisman memaklumkan papan tanda amaran akan di pasang di kawasan pesisir pantai bagi memaklumkan kehadiran ubur-ubur putih di Pantai Batu Hitam.

Justeru, pengunjung ke pantai berkenaan diminta sentiasa berhati-hati ketika menjalankan aktiviti riadah di pantai berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar menasihatkan pengunjung pantai supaya tidak sesekali menyentuh ubur-ubur terbabit.

Beliau juga meminta supaya menjauhi kawasan obor-obor dan mengelak bermain air atau mandi-manda di kawasan berdekatan ubur-ubur tersebut.

"Ini bagi mengelakkan risiko kerana dikhuatiri terdapat ubur-ubur yang berbahaya seperti ‘Hydrozoan jellyfish’ atau Portugese Man o’ War dan ‘Cubozoan jellyfish’ atau Box jellyfish yang sengatannya sangat beracun yang boleh mendatangkan kesan kecederaan teruk atau sehingga kematian," katanya.

https://www.sinarharian.com.my/article/233478/edisi/pahang/lebih-100-ubur-ubur-putih-muncul-di-pantai-batu-hitam
Pages: [1]
View full version: Lebih 100 ubur-ubur putih muncul di Pantai Batu Hitam


ADVERTISEMENT