mattzzx Publish time 26-11-2022 12:09 PM

100 bas bawa penyokong JDT berlepas ke Bukit Jalil

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/hm229penyokong_1669434333.jpg
KIRA_KIRA 4,000 penyokong kelab bola sepak JDT dari seluruh negeri ini berlepas ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia. FOTO Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Kira-kira 4,000 penyokong kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) dari seluruh negeri ini berlepas ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia malam ini.

Timbalan Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak JDT (Johor Fan Club), Mohd Fadzli Sapie berkata, semua penyokong itu bergerak dengan menaiki kira-kira 100 bas dari seluruh negeri ini.

"Sebanyak 30 bas membawa gabungan kelab-kelab penyokong selain 70 bas membawa Boys of Straits (BOS). Kami menyediakan 15 bas bagi membawa penyokong dari yang berlepas jam 8.45 pagi tadi.


"Dari Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos di Larkin di sini, sahaja kita menyediakan sembilan bas dengan 360 penyokong ditambah dengan gabungan kelab lain dan juga BOS.

"Begitu juga penyokong di dearah lain seperti di Batu Pahat, jadi saya anggarkan lebih kurang 100 bas dari Johor ke Stadium Nasional Bukit Jalil pagi ini," katanya ketika ditemui di perkarangan Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin di sini, hari ini.

Katanya, tujuan mereka berkumpul beramai-ramai dan bergerak bersama adalah bagi memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada JDT.

"Sudah pasti kami membawa harapan besar mahu melihat JDT mendapat kemenangan, walaupun dengan jaringan yang kecil.

"Kami rasa perlawanan pada malam ini juga agak mencabar kerana Selangor FC juga semakin hebat sejak Tan Cheng Hoe mengambil alih," katanya.

Sementara itu, penyokong yang ditemui rata-ratanya tidak sabar untuk menyaksikan pertembungan skuad Harimau Selatan itu menentang Selangor FC, malam ini dan yakin trofi Piala Malaysia akan menjadi milik kelab itu.

Bagi Kamariah A Kadir, 47, dia menjangkakan skuad bimbingan Hector Bidoglio mampu menang sekurang-kurangnya 2-1.

"Kita mengharapkan kemenangan JDT malam ini, cuma perkara paling penting adalah kami harapkan tiada provokasi kerana kita mahukan semangat kesukanan yang sihat," katanya yang tiba seawal jam 6.30 pagi.

Awang Lazaman, 69, pula berkata dia yang menjadi penyokong tegar JDT sejak zaman bujang berharap kemenangan akan berpihak kepada JDT memandangkan rekodbaik kelab itu.

""Kali terakhir JDT bertemu Selangor di perlawanan akhir Piala Malaysia adalah pada 1991 dan Johor menang 3-1, jadi sudah tentu kita mengharapkan pasukan kita menang lagi.

"Saya yakin kita tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana rekod JDT lawan Selangor pun baik, jadi peluang itu ada," katanya.

Pasukan Southern Tigers itu pernah menjulang gelaran itu pada 2017 dan 2019, namun dikecewakan pada 2021 oleh Kuala Lumpur City FC dan sekadar muncul naib juara.

Kali terakhir skuad Selangor FC ke peringkat akhir Piala Malaysia pula pada 2016, namun tewas bertemu Kedah.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/11/908455/100-bas-bawa-penyokong-jdt-berlepas-ke-bukit-jalil
Pages: [1]
View full version: 100 bas bawa penyokong JDT berlepas ke Bukit Jalil


ADVERTISEMENT