mattzzx Publish time 26-11-2022 11:14 AM

Lelaki ditahan tipu jualan beg dan jam mewah

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/jam_1669380829.jpg
ANTARA barangan yang dirampas. Suspek (kanan) direman sehingga Ahad. FOTO Ihsan PDRM.

Johor Bahru : Polis Johor menerima empat laporan polis daripada empat ahli perniagaan sejak Ogos lalu, berhubung kes ditipu seorang lelaki dalam pembelian jam tangan dan beg jenama mewah.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, keempat-empat mangsa berusia antara 31 hingga 40 tahun itu kerugian mencecah RM20 juta.

Beliau berkata, susulan laporan polis dibuat mangsa-mangsa, suspek iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun ditahan di sebuah premis kediaman di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada jam 4.45 petang, 20 November lalu.


"Antara tempoh Ogos lalu hingga bulan ini, kita menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap empat laporan polis dari mangsa yang mendakwa ditipu seorang lelaki tempatan dalam urusan pembelian jam tangan dan beg tangan edisi khas atau terhad jenama mewah seperti LV, Chanel, Dior, Hermes, Rolex, Patek Philippe dan Audemars Piguet.

"Keseluruhan kerugian adalah berjumlah RM20 juta," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, modus operandi digunakan suspek adalah dengan menawarkan jam tangan dan beg tangan edisi khas atau terhad jenama mewah itu kepada mangsa dengan harga jualan yang lebih murah berbanding harga pasaran biasa.

Katanya, mangsa akan berurusan secara bersemuka dengan suspek dan apabila persetujuan harga tawaran dicapai, mangsa dikehendaki membuat pembayaran ke akaun bank yang diberi suspek.

"Selepas bayaran dibuat, suspek melarikan diri bersama wang yang dibayar oleh mangsa sebelum gagal dihubungi," katanya.

Menurut Kamarul Zaman, selepas tangkapan dibuat, suspek dibawa balik ke Johor untuk siasatan kes yang dilaporkan di Johor Bahru dan Iskandar Puteri.

"Hasil siasatan juga mendapati suspek turut terbabit dengan kes di Perak yang juga menggunakan modus operandi sama.

"Suspek kini dalam tahanan reman sehingga Ahad ini dan akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak selepas siasatan di sini selesai," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/11/908327/lelaki-ditahan-tipu-jualan-beg-dan-jam-mewah
Pages: [1]
View full version: Lelaki ditahan tipu jualan beg dan jam mewah


ADVERTISEMENT