Vellfire Publish time 24-11-2022 12:28 AM

RM90 juta mudahkan golongan M40, B40 miliki rumah di Sarawak

https://j5x6u8n2.rocketcdn.me/wp-content/uploads/2022/11/PERUMAHAN2-696x425.jpg

KUCHING: Sebanyak RM90 juta peruntukan Belanjawan Sarawak 2023 akan memudahkan golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) memiliki rumah menerusi inisiatif Skim Bantuan Rumah Panjang serta Skim Deposit Perumahan dan Bantuan Bayaran Balik (HDRAS) yang akan diteruskan tahun hadapan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan, selain fokus meningkatkan peluang untuk pemilikan rumah, kerajaan turut menyediakan bantuan sewa dan pembaikan rumah.
“Melalui Skim Pinjaman Rumah Panjang yang diperkenalkan sejak 2020, ia berjaya memanfaatkan 218 rumah panjang di seluruh Sarawak melibatkan 4,747 pintu dengan peruntukan RM142 juta.
“Justeru, tahun hadapan kita komited menyediakan pinjaman tanpa faedah tersebut dengan peruntukan RM50 juta,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Sarawak 2023 pada persidangan Dun di sini, hari ini.
Jelasnya, skim tersebut menawarkan pinjaman tanpa faedah sehingga RM30,000 sepintu dalam bentuk bahan binaan untuk komuniti rumah panjang membina atau membaiki kediaman masing-masing.
Sementara untuk HDRAS kata Abang Johari, bantuan deposit sebanyak 10 peratus daripada harga belian atau sehingga RM10,000 kepada pembeli rumah pertama di bawah kumpulan B40 dan M40 turut akan diteruskan.
“Bagi tujuan tersebut, RM40 juta akan disediakan tahun hadapan yang akan memanfaatkan 4,000 pembeli rumah.
“Sehingga kini, 318 pemohon telah diluluskan di bawah skim tersebut,” ujarnya.
Tentang inisiatif pembiayaan akhir untuk pembeli rumah, beliau menyatakan Kerajaan Sarawak selangkah ke depan untuk menyediakan pembiayaan akhir bagi pembeli rumah dalam kalangan B40 dan M40 dengan kadar faedah hanya satu peratus.
Sehingga kini menurutnya, sejumlah RM107 juta telah disalurkan kepada Mutiara Mortgage & Credit Sdn. Bhd. (Mutiara) dan sehingga kini 1,337 permohonan telah diluluskan melibatkan peruntukan kewangan RM80 juta, yang mana RM48 juta telah diagihkan kepada 976 pemohon.
Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak juga memperkenalkan langkah-langkah untuk membantu rakyat dalam membayar sewa rumah serta pembaikan rumah.
“Pertama, melalui Skim Bantuan Sewa Sarawak (SRAS) yang diperkenalkan tahun lalu untuk menyediakan bantuan sewa bulanan sebanyak RM200 bagi tempoh sehingga 36 bulan kepada isi rumah B40 yang layak.
“Peruntukan sebanyak RM48 juta diluluskan di bawah inisiatif ini yang akan memanfaatkan kira-kira 20,000 isi rumah yang layak. Sehingga kini, 1,335 isi rumah telah dibantu.
“Kedua, Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (MRP-PPRMS) yang mana tahun hadapan sebanyak RM80 juta disediakan untuk membantu golongan B40 membaiki rumah mereka yang daif,” tambahnya.

https://sarawakvoice.com/2022/11/22/rm90-juta-mudahkan-golongan-m40-b40-miliki-rumah-di-sarawak/
Pages: [1]
View full version: RM90 juta mudahkan golongan M40, B40 miliki rumah di Sarawak


ADVERTISEMENT