mattzzx Publish time 22-11-2022 02:26 PM

Ingat akhirat, pasangan warga emas wakaf tanah bernilai lebih RM100,000

https://assets.bharian.com.my/images/articles/farr_1669097334.jpg
Jaameah mewakili suaminya Md Maarof menerima sijil penghargaan daripada Mohd Fared, di Johor Bahru, hari ini. NSTP/Omar Ahmad

JOHOR BAHRU: "Pak cik dan mak cik hanya memikirkan saham akhirat, tiada niat lain, semoga tanah yang kami wakafkan ini mampu membangunkan ummah," kata Md Maarof Ab Kadir, 64.

Beliau dan isterinya, Jaamaeh Masdar, 59, adalah pewakaf tanah seluas hampir sehektar yang dianggarkan bernilai RM104,000 di Parit Haji Ariff, Benut, dekat Pontian.

Md Maarof berkata, tanah yang diwakafkan itu adalah miliknya dan isteri yang diusahakan dengan tanaman kelapa sawit sebelum ini.

"Saya dan isteri rela hati mewakafkan tanah ini untuk umat islam. Tanah itu adalah pemberian orang tua dan diusahakan untuk tanam kelapa sawit pada sebelum ini.


"Ini kali pertama saya mewakaf tanah. Memang niat hendak diwakafkan. Saya dan isteri sudah niat hendak wakafkan sejak tiga tahun lalu lagi tetapi disebabkan COVID-19, jadi urusan tertangguh.

"Tiada niat lain, saya lihat ini adalah simpanan saya dan isteri di akhirat nanti, jadi saya terbuka untuk berwakaf," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Hasil Wakaf, Penyampaian Agihan Manfaat Wakaf dan Pelancaran Pelan Pembangunan Asnaf yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, di sini hari ini.

Md Maarof berharap, tanah yang diwakafkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) itu dapat digunakan untuk kebaikan umat Islam sejagat.

"Kalau ikutkan nilainya tidak besar, namun saya amat berharap manfaat yang diperoleh hasil wakaf ini besar. Mungkin boleh dibina sekolah, tahfiz atau kubur yang bersesuaian mengikut perancangan MAINJ," katanya.

Sementara itu Mohd Fared berkata, MAINJ menggariskan Pelan Pembangunan Asnaf MAINJ 2022-2023 bagi membantu golongan itu di negeri ini secara holistik.

Beliau berkata, sebagai individu Muslim, gelaran asnaf bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan, malah kadangkala boleh mengundang rasa malu kerana ia umpama aurat yang sepatutnya kita jaga bersama.

Justeru itu, katanya perlu difikir apakah cara dan strateginya agar boleh kita mengeluarkan asnaf untuk segera keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Fikirkanlah bagaimanakah langkah-langkah teratur, berstrategi, berintegriti, telus dan merata untuk mencapai objektif itu. Pastikan juga asnaf tidak selamanya menjadi asnaf sepanjang hayat. Mereka layak untuk menikmati kehidupan sebagaimana selayaknya seperti kehidupan orang lain.

"Pelan pembangunan asnaf perlu disediakan secara holistik. Tentunya program sedemikian itu merangkumi gerak kerja yang memacu meningkatkan ekonomi ummah terutama bagi melahirkan pembayar-pembayar zakat atau pewakaf yang baharu.

"Alangkah hebatnya jika tumpuan kita sepatutnya adalah dari golongan asnaf itu sendiri yang berjaya kita program sehingga mampu keluar dari garis kemiskinan. Kita yakin MAINJ mampu merubah landskap ekonomi ummah di negeri ini dengan bijak," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2022/11/1029797/ingat-akhirat-pasangan-warga-emas-wakaf-tanah-bernilai-lebih-rm100000
Pages: [1]
View full version: Ingat akhirat, pasangan warga emas wakaf tanah bernilai lebih RM100,000


ADVERTISEMENT