mattzzx Publish time 22-11-2022 10:27 AM

Penternak ikan diingatkan ambil langkah awal hadapi MTL

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/sangg_1669075181.jpg
PENTERNAK ikan sangkar di Sungai Pahang di Kampung Langgar mengikat sangkar mereka bagi menghadapi MTL. FOTO MOHD RAFI MAMAT

Kuantan: Jabatan Perikanan Pahang mengingatkan kepada 1,262 penternak ikan sangkar di negeri ini supaya bersedia lebih awal menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) bagi mengelak berlaku kerugian.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, rekod pihaknya mendapati terdapat lebih 13,025 unit sangkar petak ikan air tawar sepanjang Sungai Pahang dan beberapa sungai utama lain.

Menurutnya, terdapat sebanyak 341 unit petak sangkar ikan air payau di daerah ini dan Rompin membabitkan seramai 14 penternak.


Katanya, setiap kali tiba MTL pihaknya akan mengeluarkan peringatan kepada semua penternak ikan sangkar supaya mengambil tindakan bagi mengelak berlaku kerugian sekiranya banjir melanda negeri ini.

"Langkah pertama perlu dilakukan penternak ialah dengan memastikan ikatan sangkar berada dalam keadaan kuat dan kukuh supaya tidak mudah dihanyut arus deras air sungai. Guna tali bersaiz besar selain kabel besi.

"Ikan yang mencapai saiz sesuai untuk dijual perlu segera dipasarkan dan menangguhkan kemasukan benih baharu kerana anak ikan boleh mati apabila banjir berlaku," katanya, di sini semalam.

Beliau menambah, penternak perlu sentiasa memantau sangkar mereka apabila paras air sungai meningkat dan ketika banjir berlaku awasi balak dan timbunan kayu yang hanyut supaya tidak melanggar sangkar.

Abdullah berkata, jabatan tidak mahu melihat setiap kali MTL melanda negeri ini penternak ikan menanggung kerugian apabila sangkar mereka musnah selain ikan mati dan terlepas apabila sangkar pecah.

Katanya, penternak juga perlu sentiasa peka dengan ramalan cuaca dan perubahan paras air sungai supaya tindakan awal dapat dilakukan sekiranya banjir berlaku hingga menyebabkan paras air sungai meningkat dan berlaku arus deras.

"Penternak juga diingatkan supaya sentiasa mementingkan keselamatan, pakai jaket keselamatan sepanjang berada operasi di sangkar dan menaiki bot.

"Tahun lalu pengeluaran ikan daripada subsektor akuakultur di Pahang merekodkan sebanyak 16,774 tan bernilai kira-kira RM268 juta menjadikan negeri ini pengeluar tertinggi di Pantai Timur.

"Justeru kita berharap kedudukan berkenaan dapat terus kekal dan ancaman utama sektor perikanan darat dan laut ialah MTL," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/11/906860/penternak-ikan-diingatkan-ambil-langkah-awal-hadapi-mtl
Pages: [1]
View full version: Penternak ikan diingatkan ambil langkah awal hadapi MTL


ADVERTISEMENT