Vellfire Publish time 22-11-2022 07:49 AM

SCB akan beroperasi sepenuhnya awal tahun depan

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20221121/kks-ub211122-ysh-hajijihyatt.jpg

RASMI: Joachim (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama para tetamu kehormat yang hadir.
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sedang mewujudkan Biro Konvensyen Sabah (SCB) yang dijangkakan beroperasi sepenuhnya pada awal tahun hadapan.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, SCB adalah kemudahan yang sangat diperlukan untuk manfaatkan program atau acara berkaitan perniagaan berasaskan pelancongan.
"Ia juga akan menjadikan Sabah sebagai destinasi utama dalam acara seperti mesyuarat, persidangan dan pameran. Ini sekali gus akan memperkasakan pelancongan di Sabah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Hotel Hyatt Centric di sini hari ini. Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam.
Hajiji berkata, beliau berpuas hati dengan usaha negeri ini yang mampu mendaftarkan sejumlah 1.2 juta pelawat domestik dan antarabangsa ke Sabah dari Januari sehingga September tahun ini dengan anggaran pendapatan RM2.1 bilion.
"Sabah juga akan menambah 24 penerbangan antarabangsa setiap minggu bermula 5 Disember depan sehingga 1 Januari 2023 dari Taipei, Narita, Busan dan Hong Kong yang akan menambah 52 peratus kepada kapasiti penumpang antarabangsa," katanya.
Pihaknya yakin, dengan perkembangan baharu itu, ketibaan pelancong ke Sabah akan melepasi sasaran 1.3 juta tahun ini.
Katanya, Sabah akan membuka pintu untuk semua jenis perniagaan kepada para pengunjung dalam usaha memperkasakan sektor pelancongan kerana ia adalah bahagian penting dalam ekonomi.
Hajiji berkata, usaha itu akan meningkatkan daya saing negeri seterusnya memastikan Sabah kekal sebagai salah satu destinasi pelancongan disukai ramai di Malaysia.
Menurutnya, pembangunan hotel seperti Hyatt Centric juga tepat pada masanya memandangkan industri pelancongan terjejas teruk ketika pandemik COVID-19.
"Pandemik bukan sahaja menjejaskan kehadiran pelancong tetapi juga semua perniagaan berkaitan. Sabah khususnya sangat bergantung kepada pendapatan pelancongan.
"Bagaimanapun, kerajaan negeri berjaya mengatasi segala cabaran yang ada selepas mengambil alih pemerintahan negeri. Hala tuju yang kita lancarkan adalah fokus utama yang menjadi kunci kejayaan untuk perniagaan dan pelabur," jelasnya.
Beliau berkata, sektor pelancongan adalah salah satu daripada tiga kunci utama selain bidang pertanian dan perindustrian. Bagi meringankan impak pandemik, kerajaan negeri juga menyalurkan RM227.4 juta kepada sektor pelancongan untuk membangunkan semula industri itu.
Katanya, ia termasuklah memperkasakan komuniti tempatan menerusi penyertaan mereka dalam Program Pembangunan Pelancongan Luar Bandar melalui Lembaga Pelancongan Sabah (STB).
"Penerbangan terus juga dilaksanakan semula dan mewujudkan rangkaian jarak jauh yang ditetapkan, insentif syarikat penerbangan khas kepada syarikat penerbangan turut diperkenalkan untuk meneruskan penerbangan antarabangsa ke Sabah.
"Sehingga bulan ini, sebanyak enam penerbangan sudah meneruskan laluan antarabangsa mereka ke Kota Kinabalu," katanya.
Hajiji juga mengucapkan tahniah kepada Hyatt yang bersama-sama Hap Seng untuk membawa projek Hyatt Centric menjadi kenyataan.
"Pelaburan dibuat Hyatt membuktikan strategi yang lebih besar dengan membuat pelaburan kukuh. Sudah pasti pembangunan ini akan menjadi satu lagi mercu tanda di sini," katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus berusaha untuk memperkasa momentum pelaburan yang mana Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyenaraikan Sabah memperoleh sejumlah RM12 bilion pelaburan terus antarabangsa dan RM942 juta pelaburan domestik dari Januari sehingga Oktober 2022.

https://www.utusanborneo.com.my/2022/11/21/scb-akan-beroperasi-sepenuhnya-awal-tahun-depan
Pages: [1]
View full version: SCB akan beroperasi sepenuhnya awal tahun depan


ADVERTISEMENT