Vellfire Publish time 21-11-2022 07:36 AM

GPS setuju bersama PN, BN dan GRS bentuk kerajaan persekutuan: Abang Johari

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20221120/whatsappimage2022-11-20at74432pm.jpeg

Abang Johari menunjukkan kenyataan media mengenai keputusan GPS membentuk gabungan bersama PN, BN dan GRS.
KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersetuju membentuk gabungan bersama Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi membentuk kerajaan persekutuan yang baharu.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan itu dibuat demi mengukuhkan dan menstabilkan negara serta kesejahteraan rakyat.
Dengan gabungan parti itu, katanya, GPS memilih Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.
“Kita semua sedia maklum bahawa tiada sesebuah parti mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan setelah selesai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semalam.
“Dunia dan negarakita bakal berhadapan dengan cabaran krisis ekonomi sekarang dan keadaannya dijangka akan menjadi lebih genting pada tahun hadapan.
“Justeru, demi untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjamin dan ekonomi negara kita terpelihara maka sebuah kerajaan yang stabil dan kuat haruslah dibentuk dengan kadar yang segera,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.
Pengerusi GPS itu berkata, kerajaan campuran yang bakal dibentuk itu bermatlamat kepada beberapa perkara.
“Pertama, menegakkan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Sarawak dan kedaulatan undang-undang yang diperuntuk di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
“Kedua, menegakkan hak kebebasan beragama dan amalan kepelbagaian adat resam dan budaya di Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, MA63 dan Laporan IGC,” katanya.
Ketiga memastikan autonomi dari segi perancangan pembangunan pendidikan dan kesihatan serta perkara lain yang mempunyai kepentingan Sarawak dan keempat pula adalah mengutamakan perkara-perkara lain yang mempunyai kepentingan Sarawak.
Ditanya mengenai sekiranya Abang Johari menerima sebarang tawaran sehingga GPS bersetuju dengan pembentukan gabungan tersebut, Abang Johari berkata sebarang tawaran atau tuntutan akan dibincangkan kemudian selepas Kerajaan Persekutuan baharu ditubuhkan.
“Mengenai calon Timbalan Perdana Menteri dari Sarawak, ia perkara kemudian. Kerana hal rakyat lebih penting.
“Kita telah mengadakan pilihan raya dan rakyat telah memberi mandat, dan kini adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membentuk kerajaan persekutuan berdasarkan mandat rakyat,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin hari ini menerima kunjungan Abang Johariuntuk membincangkan pembentukan kerajaan persekutuan.
Turut serta dalam pertemuan itu ialah Presiden Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Tan Sri Abdul Hadi Awang.
PRU15 yang paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.
PH memenangi 82 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi, setakat 4.30 pagi apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan keputusan bagi 219 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.
PN membuka gelanggang buat kali pertama dalam pilihan raya umum dengan mempamerkan prestasi mengagumkan apabila menyapu bersih 14 kerusi Parlimen di Kelantan dan lapan di Terengganu menggunakan logo PAS, selain membentuk kerajaan negeri di Perlis setelah memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
BN yang sudah bersedia untuk kembali menerajui Putrajaya sebaliknya mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarah politiknya apabila hanya memenangi 30 daripada 178 kerusi yang ditandingi.
GPS menang 22 kerusi, berbanding 18 kerusi disandangnya pada Parlimen lepas; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan enam kerusi; Warisan (tiga); Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) meraih satu kerusi manakala Gerakan Tanah Air (GTA) dalam penampilan sulungnya gagal memenangi sebarang kerusi.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media pada 5 pagi berkata tiada pihak yang memperoleh majoriti 50 peratus daripada 219 kerusi yang diisytiharkan.

https://www.utusanborneo.com.my/2022/11/20/gps-setuju-bersama-pn-bn-dan-grs-bentuk-kerajaan-persekutuan-abang-johari
Pages: [1]
View full version: GPS setuju bersama PN, BN dan GRS bentuk kerajaan persekutuan: Abang Johari


ADVERTISEMENT