Raline Publish time 18-11-2022 10:11 PM

Tawaran RM1.65 bilion dari kelab Arab Saudi betul - Ronaldo

Tawaran RM1.65 bilion dari kelab Arab Saudi betul - Ronaldo

https://assets.bharian.com.my/images/articles/lopos_1668770686.jpg
Ronaldo sahkan terima tawaran lumayan dari kelab Arab Saudi.


LONDON: Cristiano Ronaldo mengesahkan dia menolak tawaran dengan bayaran 'pecah rekod' bernilai £3 juta (kira-kira RM16 juta) seminggu untuk bermain di Arab Saudi.

Pemain berusia 37 tahun itu mencetuskan kontroversi ketika temu bual bersama Piers Morgan selepas kedudukannya merudum dalam hierarki pasukan Manchester United.

Sepanjang temu bual itu, dia menyelar bos Manchester United, Erik Ten Hag dan bekas pengurus kelab itu selain membidas bekas rakan sepasukan, Wayne Rooney serta Gary Neville.

Ronaldo turut mendedahkan bahawa dia menolak bayaran yang tinggi untuk melakukan perpindahan dari Old Trafford.

Bintang Portugal itu mengesahkan khabar angin bahawa dia ditawarkan RM1.65 bilion untuk bermain di Arab Saudi hanya dalam tempoh dua tahun sahaja adalah benar - namun dia menolaknya.

Ini bermakna Ronaldo mungkin memperoleh pendapatan kira-kira RM16 juta seminggu yang boleh menjadi rekod tertinggi gaji pemain bola sepak.

Apabila Morgan mendesaknya mengenai tawaran dari kelab Arab Saudi yang tidak dinamakan, Ronaldo mengesahkan "ia benar" dan dia menolaknya "ketika itu."

Apabila ditanya adakah sukar menolak bayaran yang begitu tinggi, dia berkata: "Ia sukar. Ia sukar. Tetapi dalam masa sama, saya fikir saya sangat gembira di sini, bahawa saya masih mampu menjaringkan gol dan membuat ramai orang gembira.

"Saya percaya bahawa saya boleh menjaringkan banyak gol dan membantu pasukan kerana saya percaya saya masih bagus dan mampu membantu pasukan kebangsaan - malah Manchester United.

"Tetapi jika anda tidak merasakan di sekeliling anda bahawa kekuatan di pihak anda, ia adalah sukar. Sudah tentu, kritikan itu akan wujud sepanjang masa.

"Namun saya mahu melihat jika ada pemain sebaya saya kekal pada tahap yang saya pamerkan. Anda tidak akan mengajar saya perkara itu. Tiada siapa yang akan mengajar saya perkara itu."

Bintang United itu juga mendakwa bahawa apabila ejennya Jorge Mendes berbincang dengan kelab mengenai pemain lain yang diwakilinya, mereka "selalu menyebut Cristiano Ronaldo, mereka menawarkan Cristiano."

Ronaldo sebelum ini pernah dikaitkan dengan kelab, Al-Hilal, namun tidak dapat dipastikan kelab Arab Saudi yang mana mengemukakan tawaran bayaran sebesar itu.

Ia akan menjadikan dia pemain bola sepak yang menerima bayaran tertinggi di dunia, dengan pemegang gelaran itu dipercayai Kylian Mbappe pada nilai RM6.5 juta seminggu. - AGENSI

Sumber:https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2022/11/1027727/tawaran-rm165-bilion-dari-kelab-arab-saudi-betul-ronaldo

Pages: [1]
View full version: Tawaran RM1.65 bilion dari kelab Arab Saudi betul - Ronaldo


ADVERTISEMENT