Raline Publish time 4-11-2022 10:03 PM

Berfesyen menggunakan tudung menyerupai rambut, apa hukumnya?

Berfesyen menggunakan tudung menyerupai rambut, apa hukumnya?

https://sinarislamplus.sinarharian.com.my/wp-content/uploads/2022/11/pexels-engin-akyurt-3065209.jpg
PERBUATAN ini haram kerana ia mengandungi unsur-unsur penipuan dan mengubah ciptaan ALLAH. Foto: Pexels


TULAR baru-baru ini apabila seorang penyanyi terkenal dikecam teruk oleh warganet apabila menggayakan fesyen memakai tudung ala-ala rambut tocang.

Rata-rata netizen mengecam akan perbuatan penyanyi itu seolah mencemarkan imej Islam. Ada juga yang mengatakan hukum memakai apa sahaja untuk menyerupai rambut seorang wanita itu adalah haram kerana boleh menimbulkan fitnah.

Memetik perkongsian Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) di laman e-Sumber Maklumat Fatwa menjelaskan hukum menyambung rambut atau memakai rambut palsu oleh kaum wanita semata-mata untuk berhias diri dengan menggunakan rambut atau sesuatu yang menyerupai rambut di kepala adalah diharamkan oleh ALLAH SWT.

Sama ada wanita itu sendiri yang melakukannya atau dilakukan oleh orang lain seperti juru andam dan juru solek. Perbuatan ini haram kerana ia mengandungi unsur-unsur penipuan dan mengubah ciptaan ALLAH.

https://sinarislamplus.sinarharian.com.my/wp-content/uploads/2022/09/maria-lupan-FG0tfx1Aojo-unsplash-1.jpg
JELAS sekali hukumnya haram perbuatan menanam rambut di kepala, memakai rambut palsu dan termasuk cara-cara lain yang dilakukan pada masa sekarang.



Termasuk dalam larangan menyambung rambut ialah perbuatan menanam rambut di kepala, memakai rambut palsu dan termasuk cara-cara lain yang dilakukan pada masa sekarang.

Dalam hal menyambung rambut ini, para Ulama’ Mazhab Syafie telah menghuraikannya dengan lebih jelas:

i. Tiada perbezaan pendapat ulama mengenai hukum haram menyambung rambut dengan rambut manusia sama ada rambut lelaki atau perempuan ataupun rambut suami atau mahram. Ini kerana menggunakan atau memanfaatkan rambut manusia adalah haram disebabkan kemuliannya.

ii. Jika rambut itu bukan berasal daripada manusia dan ia najis seperti bulu daripada bangkai binatang atau bulu binatang yang tidak boleh dimakan adalah haram disambung dengannya.

iii. Jika perempuan yang tidak bersuami menyambung rambut daripada bahan yang suci sekalipun maka hukumnya adalah haram, melainkan bagi perempuan yang bersuami dan diizinkan oleh suaminya.


https://sinarislamplus.sinarharian.com.my/wp-content/uploads/2022/11/pexels-jhong-pascua-3018845.jpg
FITRAH diri manusia yang gemarkan kecantikan, namun ada batas-batas yang perlu dipatuhi seperti yang digariskan oleh Islam. Foto: Pexels


“Berhias diri merupakan fitrah semulajadi manusia namun ianya perlu diamalkan secara betul mengikut apa yang digariskan oleh syariat Islam supaya ia menjadi ibadah dan mendapat ganjaran pahala daripada ALLAH.

“Oleh itu, perlulah diambil peringatan bahawa perbuatan bertatu, mewarnakan rambut, mencukur bulu kening, memakai rambut palsu bukan sahaja dilarang oleh syarak bahkan ia juga dilaknat oleh ALLAH dan Rasul-NYA.


“Seseorang yang dilaknat akan berada jauh daripada rahmat, taufik, petunjuk serta dijauhkan daripada segala kebaikan. Sesungguhnya tiada yang lebih bermakna kepada seseorang hamba melainkan nikmat ALLAH disyukuri, ibadah dihalusi dan kehidupan diberkati,” jelas artikel e-Sumber Maklumat Fatwa.

Berfesyen di sisi Islam

Pendakwah, Ustaz Azhar Idrus turut menjelaskan makna berfesyen yang sebenar di sisi Islam adalah dengan mengikuti peraturan yang telah digariskan oleh hukum syarak Islam.

https://sinarislamplus.sinarharian.com.my/wp-content/uploads/2022/09/Untitled-design-2022-09-01T151503.517-768x512.jpg

SEBAIKNYA, pilihlah pakaian yang biasa digunakan oleh masyarakat dan tidak melanggar batas syariat agama. Foto: Pexels

Menurutnya, perlu difahami terlebih dahulu makna berpakaian adalah menutup badan manakala berfesyen pula ialah menutup badan dan bergaya. Islam adalah agama yang membolehkan umatnya untuk berfesyen dengan syarat tidak terlalu berlebih-lebihan.

Ustaz Azhar turut menegaskan bahawa perkara pertama yang perlu dijaga di dalam bab pemakaian adalah mengenai aurat kemudian barulah boleh disusuli dengan berfesyen.

Telah diriwayatkan daripada Aisyah RA katanya “Sungguhnya Asma’ binti Abu Bakar RA telah masuk kepada Rasulullah SAW dalam keadaan memakai pakaian yang nipis lalu Baginda berpaling daripadanya dan bersabda: Wahai Asma’ sungguhnya perempuan itu apabila telah baligh tidaklah harus bahawa dilihat daripada badannya kecuali ini dan ini dan Baginda mengisyaratkan kepada wajahnya dan dua pergelangan tangannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Sumber:https://sinarislamplus.sinarharian.com.my/berita-semasa/berfesyen-menggunakan-tudung-menyerupai-rambut-apa-hukumnya/

Pages: [1]
View full version: Berfesyen menggunakan tudung menyerupai rambut, apa hukumnya?


ADVERTISEMENT