Raline Publish time 4-11-2022 10:20 AM

Lanjutan moratorium diperlukan

Lanjutan moratorium diperlukan

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/ikspmora1_1667430314.jpg
SEKTOR PKS dan PMKS antara yang paling terjejas akibat pandemik Covid-19. FOTO Arkib NSTP


Kuala Lumpur: Majlis Pemulihan Negara (MPN) baru-baru ini berkongsi lima cadangan utama MPN kepada kerajaan terutamanya isu kekurangan pekerja di sektor kritikal seperti pembinaan, perladangan dan pelancongan, serta memudahkan pinjaman dan pemberian moratorium khas kepada perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Selain itu, isu aliran tunai pengusaha PMKS sering dibincang di mesyuarat MPN kerana ia mampu menjejaskan dan merencat proses pemulihan negara.

Memandangkan sektor PKS dan PMKS antara yang paling terjejas akibat pandemik Covid-19, MPN mencadangkan supaya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) bersama pembabitan Kementerian Kewangan (MOF) dan Bank Negara Malaysia (BNM) mempertimbang lanjutan pemberian moratorium kepada pengusaha PMKS.

Presiden Gabungan Persatuan Peniaga dan Penjaja Malaysia Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, pihaknya amat bersetuju dengan cadangan MPN terutama bagi melanjutkan pemberian moratorium kepada PMKS kerana ramai pengusaha yang masih 'bergelut' untuk kelangsungan hidup dan perniagaan mereka.

"Apa yang diberi kerajaan sebelum ini sebenarnya tidak terlalu membantu PMKS, disebabkan itu kalau boleh kami memang meminta agar moratorium dilanjutkan lagi sekurang-kurangnya sehingga PMKS boleh bernafas semula.

"Memang kerajaan memberi banyak bantuan dana, seperti baru-baru ini RM50 juta diperuntukkan untuk PMKS, tetapi dana itu tidak mencukupi dan tidak semua peniaga dapat memohon.

"Apabila kita hampir pulih daripada Covid-19, maka kita perlu dana secukupnya untuk menggerakkan sektor industri kecil dan sederhana ini.

"Baru-baru ini saya dimaklumkan ramai PMKS tidak dapat membayar pinjaman kenderaan mereka sehingga ada yang menerima notis.

"Justeru itu, moratorium lagi setahun perlu diberi kepada PMKS ini, supaya mereka dapat melaraskan semula pendapatan mereka dan boleh memulakan perniagaan.

"Jangan ingat apabila kita diberi kelonggaran pergerakan (semua boleh berniaga) dan hanya dalam masa singkat mereka boleh terus mengumpulkan keuntungan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menghargai usaha dilaksanakan MPN dalam membantu PMKS ini dan usaha itu diharap dapat diterjemahkan supaya boleh dirasai oleh masyarakat yang memerlukan.

Pengarah Urusan Kuhot Holdings (M) Sdn Bhd Mohamad Azmi Ahmad berkata, sepanjang pandemik syarikatnya menghadapi masalah aliran tunai yang kronik, namun melalui semua inisiatif diterima, situasi sukar berkenaan dapat dilalui dengan mudah sehinggalah negara berubah ke fasa pemulihan dan aktiviti ekonomi dibuka sepenuhnya.

"Sepanjang pandemik, syarikat saya menerima pelbagai bantuan melalui program pemulihan ekonomi seperti Program Subsidi Upah (PSU) 1.0 hingga PSU 3.0 dan menerima semua Geran Khas Prihatin diberi kerajaan.

"Saya bersyukur kerana melalui program Pemulihan Negara yang dirancang rapi, prestasi perniagaan kembali memulih dengan cepat walaupun dalam situasi sukar namun perlu ada tindakan segera dan efektif bagi mengekang kenaikan harga bahan mentah yang naik mendadak.

"Selain itu, saya bersetuju supaya dalam tempoh Pemulihan Negara ni, kerajaan mengekalkan moratorium hingga Jun 2023 bagi menstabilkan semua kedudukan kewangan syarikat dan dapat menjana semula pendapatan dan modal baharu bertahan dalam fasa pemulihan ini," katanya yang memfokus pada katering apam balik.

Sementara itu, Pengarah Khair Inspirasi Sdn Bhd, Muhammad Khair Sulam yang menerima bantuan pinjaman kewangan kerajaan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) melahirkan rasa bersyukur kerana perniagaan makanan dan barangan mainannya sebelum ini menerima kesan secara langsung disebabkan pandemik.

"Syarikat diberi pinjaman dengan kadar faedah rendah dan enam bulan moratorium.

"Untuk memastikan perniagaan saya terus kekal, saya menumpukan perniagaan secara online iaitu media sosial dan juga sistem eperolehan.gov.my.

"Pada peringkat awal pandemik, kami mengalami masalah aliran tunai apabila barangan dalam kedai tidak dapat dijual dan sampai satu tahap saya menurunkan harga bagi memastikan barang dapat dijual untuk mencairkan modal, tetapi hasil jualan masih belum cukup untuk menampung kos operasi syarikat," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman perniagaannya, pihaknya setuju dengan langkah MPN mencadangkan supaya moratorium khas diberi kepada pengusaha PMKS memerlukan.

"Saya setuju dengan cadangan ini dan sekurang-kurangnya minimum enam bulan tempoh moratorium perlu diberikan kepada PMKS terjejas.

"Namun pandangan saya masalah paling besar dihadapi peniaga sekarang membabitkan stok bekalan semakin mahal, gaji minimum semakin tinggi dan juga sewa premis terlalu mahal.

"Perlu ada tindakan untuk membantu peniaga menyelesaikan isu terbabit untuk memastikan kelangsungan jangka panjang PMKS dan diharap MPN terus memainkan peranan membantu usahawan di seluruh negara," katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/utama/2022/11/899037/lanjutan-moratorium-diperlukan

Pages: [1]
View full version: Lanjutan moratorium diperlukan


ADVERTISEMENT