Raline Publish time 4-11-2022 10:19 AM

Cinta Farah Ann kepada gimnastik tak pernah pudar

Cinta Farah Ann kepada gimnastik tak pernah pudar

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/Anugerah_Ikon_Sukan_Harian_Metro___Farah_Ann_Abdul_Hadi_1667478689.jpg
FARAH Ann dicalonkan bagi Anugerah Ikon Sukan (AIS) Pempengaruh Harian Metro. FOTO HASRIYAYSAH SABUDIN


Kuala Lumpur: Biarpun hampir setahun bersara daripada arena sukan gimnastik secara kompetitif, namun cinta dan sayangnya terhadap sukan itu tiada galang gantinya.

Bekas ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi yang mengumumkan 'selamat tinggal' pada sukan itu pada Februari lalu sebenarnya masih aktif di belakang tabir apabila giat merangka beberapa program khususnya di peringkat akar umbi.

Antaranya, penganjuran kejohanan gimnastik atau dikenali dengan Farah Ann Cup yang bakal berlangsung pada awal tahun 2023 selain ingin menubuhkan akademi gimnastik untuk melatih lebih ramai bakat baharu dalam sukan gimnastik.

Lantas, Farah yang tersenarai dalam Anugerah Sukan Ikon (AIS) Harian Metro mengakui amat terharu dan menganggap satu penghormatan jika dipilih sebagai pemenang, sekali gus mampu memberi inspirasi kepada atlet muda.

"Saya kini lebih banyak menghabiskan masa dengan pemulihan dan bercuti bersama-sama keluarga.

"Pada masa sama, ada perancangan untuk menganjurkan pertandingan Farah Ann Cup untuk kanak-kanak pada tahun hadapan. Jika dinobatkan sebagai ikon AIS, ia satu penghargaan yang sangat tinggi kerana kami membawa nama negara ketika bertanding.

"Ia bukan beban, tetapi ia akan menjadi kebanggaan buat saya kerana saya mahu terus menginspirasi remaja supaya mengejar impian mereka," katanya yang dicalonkan dalam kategori Ikon Sukan Pempengaruh.


https://assets.hmetro.com.my/images/articles/parah_1667478691.jpg

AIS Harian Metro yang julung kali dianjurkan adalah untuk memberi pengiktirafan kepada ahli sukan termasuk atlet paralimpik serta persatuan sukan atas kejayaan dan kecemerlangan dalam kejohanan disertai sepanjang tahun ini.

Sebanyak lapan kategori dipertandingkan iaitu Anugerah Ikon Sukan Lelaki, Anugerah Ikon Sukan Wanita, Anugerah Ikon Sukan Paralimpik dan Anugerah Ikon Sukan Jurulatih.

Empat lagi kategori menyaksikan Anugerah Ikon Sukan Persatuan/Kelab, Anugerah Ikon Sukan Kepimpinan, Anugerah Ikon Sukan Harapan dan Anugerah Ikon Sukan Pempengaruh turut dipertandingkan.

Farah antara atlet gimnastik artistik negara yang paling berjaya di Sukan Sea apabila berjaya meraih tujuh emas menerusi penampilan pada edisi 2015 di Singapura, 2017 di Kuala Lumpur dan 2019 di Manila.

Dia mencipta sejarah apabila menjadi gimnas ketiga negara menempah tiket beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas kali terakhir gimnas lelaki, Ng Shu Wai beraksi pada Sukan Olimpik 2004 di Athens.

Seorang lagi gimnas wanita negara yang pernah ke pentas Olimpik ialah Au Li Yen pada Olimpik 2000 di Sydney.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/arena/lain/2022/11/899250/cinta-farah-ann-kepada-gimnastik-tak-pernah-pudar

Pages: [1]
View full version: Cinta Farah Ann kepada gimnastik tak pernah pudar


ADVERTISEMENT