Raline Publish time 31-10-2022 06:52 PM

'Kerja gila' Pearly-Thinaah berbaloi

'Kerja gila' Pearly-Thinaah berbaloi

https://assets.bharian.com.my/images/articles/baloi_1667210268.jpg
Pearly (kanan) dan Thinaah meraikan kejayaan menjuarai Terbuka Perancis selepas menewaskan Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara di Paris semalam. EPA/YOAN VALAT


KUALA LUMPUR: Dua bulan lalu, pemain beregu wanita negara, Pearly Tan mengalirkan air mata menahan kesakitan selepas mengalami kecederaan hamstring di pusingan pertama Terbuka Jepun.

Pemain berusia 22 tahun itu bagaimanapun mengakhiri 'kesengsaraan' itu dengan penuh bergaya apabila dia dan pasangannya, M Thinaah mencipta sejarah muncul beregu wanita pertama Malaysia menjuarai saingan Terbuka Perancis di Paris, semalam.

Pearly-Thinaah yang berada di kedudukan ranking ke-11 dunia merekodkan gelaran pertama mereka dalam kejohanan bertaraf Super 750 itu selepas mengejutkan juara dunia dua kali, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun menerusi kemenangan 21-19, 18-21, 21-15 pada aksi yang berlangsung di Stade Pierre de Coubertin di Paris.

Sebelum ini, pencapaian terbaik beregu wanita negara pada kejohanan yang mula diperkenalkan pada 1908 itu adalah menerusi gandingan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui yang muncul naib juara pada edisi 2008.

Dalam hanya tempoh dua bulan selepas mengalami kecederaan, kejayaan dilakar di Paris membuktikan 'kerja gila' Pearly-Thinaah yang tidak pernah berputus asa berjaya meletakkan mereka sebaris dengan kelompok pasangan utama dunia.

Malah, kejayaan menumbangkan pasangan Jepun yang dua kali muncul juara dunia membuktikan tiada apa yang mustahil untuk mereka menakluki dunia.

Lebih manis, kejuaraan kali ini turut menyaksikan kedua-dua pemain itu hampir pasti menjamin tempat bagi beraksi pada saingan Jelajah Dunia Akhir BWF yang akan berlangsung di Guangzhou, China bermula 14 hingga 18 Disember depan.

Bagi Pearly, pencapaian menjuarai Terbuka Perancis adalah sesuatu yang di luar jangkaan mereka tetapi pada masa yang sama menegaskan perjalanan mereka masih jauh dan perlu terus bekerja keras bagi meningkatkan tahap prestasi mereka.

"Saya sangat gembira kerana pencapaian ini cukup bermakna buat kami berdua. Namun, masih ada banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dalam setiap perlawanan.

"Kami berharap dapat mengekalkan momentum ini. Kami akan terus bekerja keras dalam latihan dan sentiasa meningkatkan tahap permainan kami," kata Pearly.

Gelaran Terbuka Perancis adalah yang kedua buat Pearly-Thinaah dalam siri Jelajah Dunia BWF selepas turut menjuarai Terbuka Switzerland, tahun lalu.

Sementara itu, Thinaah mengakui Eropah sentiasa menjadi tempat kegemaran mereka untuk memburu kemenangan selepas turut berjaya memenangi pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022, Ogos lalu.

"Eropah adalah tempat yang membawa tuah kepada kami. Kami sangat gembira berada di sini, sentiasa ada ramai penyokong di Paris yang menyokong kami dan itu membantu semasa perlawanan.

"Kami gembira dapat bermain di tahap ini tetapi kami fikir kami boleh menjadi lebih baik," kata Thinaah yang dipetik dalam laman web rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pearly-Thinaah selepas ini dijadual menyertai saingan Terbuka Hylo di Jerman yang bermula, esok.

Bagaimanapun, Pearly memberitahu mereka akan mengadakan perbincangan bersama jurulatih dan pasukan sokongan sama ada menyertainya atau menarik diri.

Sumber:https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2022/10/1018867/kerja-gila-pearly-thinaah-berbaloi

Pages: [1]
View full version: 'Kerja gila' Pearly-Thinaah berbaloi


ADVERTISEMENT