Raline Publish time 31-10-2022 08:48 AM

Sedekah harta suami tanpa izin, ini hukumnya yang wajib diketahui

Sedekah harta suami tanpa izin, ini hukumnya yang wajib diketahui

https://sinarislamplus.sinarharian.com.my/wp-content/uploads/2022/10/Untitled-design-2022-10-21T171741.909.jpg

ISLAM sememangnya menganjurkan umatnya supaya bersedekah, tetapi biarlah ia daripada sumber yang halal. -FOTO: 123RF
AMALAN sedekah begitu dianjurkan dalam Islam. Malah, ia merupakan antara cara mudah untuk melakukan kebajikan.

Meskipun demikian, tidak semua perkara sesuai untuk diinfakkan. Ia termasuklah harta yang diperoleh daripada sumber haram atau syubhah. Ini kerana amal kebajikan tidak dapat menyucikan harta yang haram.

Bagaimanapun, andai seorang isteri bersedekah menggunakan harta suaminya tanpa pengetahuan mereka, adakah ia diharamkan?

Menjawab persoalan itu, pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, kaum Hawa tidak harus bersedekah atau membelanjakan harta suaminya melainkan dengan keizinan.

https://sinarislamplus.sinarharian.com.my/wp-content/uploads/2022/04/1053646.jpg
USTAZ AZHAR IDRUS

Perkara itu jelas dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr RA. Beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak harus bagi seorang isteri memberi sesuatu (dari harta suami) melainkan dengan izin suaminya.” (Hadis Riwayat an-Nasai)

Dalam sebuah hadis lain, Abu Umamah al-Bahili meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak boleh isteri membelanjakan suatu dari harta di rumah suaminya melainkan dengan izin suaminya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Melihat dua hadis berkenaan, maka jelaslah seorang isteri tidak dibenarkan sama sekali membelanjakan harta suaminya tanpa izin ‘imam’ mereka tidak kiralah untuk tujuan sama ada bersedekah, menderma dan selainnya.


“Begitupun, andai jumlahnya sedikit pada adat seperti memberi RM1 kepada peminta sedekah, maka hukumnya diharuskan.

“Dalam Fatwa Majlis Islam Palestin menyebut, tidak harus bagi isteri membelanjakan suatu daripada harta suaminya yang tertentu dalam apa jua perbelanjaan walau seperti sedekah kecuali dengan izin suaminya dan dikecualikan jika ia melibatkan suatu yang sedikit pada adat yang mana orang akan berlebih kurang padanya.

“Pendek kata, jika isteri bersedekah dengan nilai sedikit yang mana kebiasaannya orang tidak ambil berat dengan jumlah tersebut, maka harus hukumnya dan dimaafkan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.


Justeru, Ustaz Azhar Idrus menitipkan pesanan agar para isteri tidak dibenarkan bersedekah atau menderma menggunakan harta suami lebih-lebih lagi apabila mereka tiada di rumah.

“Tiada masalah jika ada keizinan daripada suami sama ada ia sudah dimaklumkan sebelumnya atau isteri meminta izin dengan menulis surat atau menghubungi suaminya.

https://sinarislamplus.sinarharian.com.my/wp-content/uploads/2022/10/Untitled-design-2022-10-21T171723.787.jpg
JIKA melibatkan nilai yang kecil, diharuskan isteri bersedekah menggunakan harta suami tanpa keizinannya. -FOTO: 123RF

“Adapun, jika isteri ingin bersedekah dengan menggunakan harta sendiri, dibolehkan berbuat demikian kerana tiada larangan,” ungkapnya.

Sedekah dengan harta haram

Secara asasnya, memetik artikel menerusi laman web dalamislam.com, ALLAH SWT tidak akan menerima sedekah daripada sumber yang haram walau apa jua justifikasinya.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya ALLAH itu thoyyib (baik). ALLAH tidak akan menerima sesuatu melainkan dari yang thoyyib (baik).” (Hadis Riwayat Muslim)

Ketahuilah, sedekah hanya akan diterima daripada harta yang halal sahaja.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah diterima solat tanpa bersuci, tidak pula sedekah dari ghulul (harta haram).” (Hadis Riwayat Muslim)


Ingatkan, bersedekah ataupun menginfakkan harta ke jalan ALLAH SWT merupakan pendekatan terbaik menyucikan harta. Malah, ia merupakan ibadah yang boleh menghantar kita kepada pintu syurga.

https://sinarislamplus.sinarharian.com.my/wp-content/uploads/2022/10/Untitled-design-2022-10-21T171800.866.jpg
TIADA larangan jika isteri ingin bersedekah dengan menggunakan harta sendiri. -FOTO: FREEPIK

Justeru, usah cemarinya dengan menggunakan harta haram kerana barangkali ia boleh menjerumuskan pelakunya ke dalam neraka.

Sumber:https://sinarislamplus.sinarharian.com.my/isu/sedekah-harta-suami-tanpa-izin-ini-hukumnya-yang-wajib-diketahui/

Pages: [1]
View full version: Sedekah harta suami tanpa izin, ini hukumnya yang wajib diketahui


ADVERTISEMENT