Raline Publish time 27-10-2022 02:05 PM

Go Secure lindung keselamatan pelanggan Bank Islam

Go Secure lindung keselamatan pelanggan Bank Islam

https://assets.bharian.com.my/images/articles/0825rsbimb_1666847010.jpg
Gambar fail. - NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN


KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) komited dalam memastikan keselamatan pelbagai platform perbankannya dan melindungi kepentingan pelanggan, terutamanya dalam menangani aktiviti penipuan, dengan mempertingkatkan langkah keselamatan secara progresif.

Dalam satu kenyataan, Bank Islam berkata GO Secure iaitu pengesahan digital berasaskan aplikasi untuk meluluskan transaksi yang dijalankan di perbankan internet menggunakan pengesahan selamat sejak 2020, adalah satu sistem yang lebih teguh dan akan menggantikan perkhidmatan pengesahan i-Access Code (IAC) yang dihantar melalui SMS ke nombor telefon pelanggan yang berdaftar secara berperingkat.

"Bank Islam merancang beralih kepada GO Secure sepenuhnya menjelang Jun 2023, sejajar dengan saranan Bank Negara Malaysia (BNM).

"Kami akan akan menyempurnakan lima langkah kawalan terhadap penipuan yang diumumkan BNM baru-baru ini menjelang Jun 2023," katanya.

Mengenai insiden tular di satu platform media sosial baru-baru ini yang dilaporkan membabitkan pencerobohan akaun seorang pelanggan berusia 80-an, Bank Islam memaklumkan pihaknya menghubungi pelanggan berkenaan dan siasatan terperinci telah dijalankan.

Perkembangan siasatan katanya, telah dikongsi bersama pelanggan berkenaan dan hasil siasatan awal menunjukkan bahawa sistem keselamatan dan kawalan bank kekal teguh.

"Bank Islam akan terus memastikan saluran perbankan dan pembayarannya kekal selamat dandilengkapi dengan sistem kawalan keselamatan terkini," katanya.

Bank itu juga akan terus mendidik dan meningkatkan kesedaran awam tentang amalan perbankan berhemah seperti memastikan kad debit atau kredit dijaga dengan baik dan tidak berkongsi butiran penting perbankan dengan pihak ketiga termasuk kata laluan, nombor pengenalan peribadi (PIN) untuk perkhidmatan ATM dan kad debit serta kata laluan satu kali (OTP).

"Usaha ini diambil dengan membabitkan kerjasama penuh dengan pihak polis, pengawal selia dan penggiat industri lain," katanya. - Bernama

Sumber:https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2022/10/1017221/go-secure-lindung-keselamatan-pelanggan-bank-islam

Pages: [1]
View full version: Go Secure lindung keselamatan pelanggan Bank Islam


ADVERTISEMENT