Raline Publish time 27-10-2022 02:05 PM

Ringgit dijangka kembali kukuh suku kedua tahun hadapan

Ringgit dijangka kembali kukuh suku kedua tahun hadapan

https://assets.bharian.com.my/images/articles/dulur_1666845925.jpg
Gambar fail. - NSTP/ZULFADHLI ZULKIFLI.


KUALA LUMPUR: Ringgit yang kekal lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ini dijangka kembali mengukuh semula bermula suku kedua tahun depan, demikian kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi dan Ketua Penyelidik Kumpulan AmBank Research, Dr Anthony Dass, bagaimanapun menjangka mata wang tempatan kekal lemah pada suku keempat tahun ini dengan unjuran berada pada paras RM4.70 sedolar.

Katanya, ketidaktentuan luaran dan domestik kekal sebagai penyumbang utama kepada kelemahan ringgit.

Selain itu, jelasnya, perbezaan kadar faedah dengan AS kekal meluas, yang mana ia memihak kepada dolar.

Justeru, pihaknya menjangkakan ringgit akan terus melemah berbanding dolar AS sehingga suku pertama tahun depan kepada RM4.80 sedolar.

"Menuju ke depan, kami jangka perbezaan kadar faedah antara Malaysia dan AS mengecil pada separuh kedua 2023.

"Dengan kelembapan mendadak atau risiko kemelesetan di AS, kami berpandangan potensi pengurangan kadar oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) pada separuh kedua 2023.

"Dengan anggaran pengurangan sebanyak 100 mata asas pada separuh kedua 2023, ini bermakna perbezaan kadar faedah akan turun dari paras tinggi 1.25-1.50 peratus kepada 0.25-0.50 peratus," katanya dalam nota penyelidikannya.

Selain itu, Dass berkata, pemulihan ringgit itu berikutan ekonomi domestik dijangka akan lebih tenang selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, ia bermakna kesan positif daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), pelaburan langsung asing (FDI), pelaburan langsung domestik (DDI), aktiviti domestik, eksport dan pengurusan inflasi yang lebih baik dan Bajet 2023 harus menyediakan keselesaan yang diperlukan untuk ekonomi berkembang sekitar 4.5 peratus pada 2023.

"Dengan dolar AS dijangka memasuki tempoh kitaran penurunan, ini bermakna ringgit berbanding dolar AS akan mula mengukuh dari suku kedua 2023 seterusnya dan selesai pada paras RM4.40 sedolar pada suku keempat 2023," katanya.

Dass berkata, tindakan agresif Fed AS menaikkan kadar faedah untuk mengawal inflasi menyokong dolar untuk mengukuh, yang mana tidak memihak kepada ringgit.

Beliau berkata, ringgit menyusut 13.5 peratus setakat 25 Oktober 2022 meskipun Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 75 mata asas kepada 2.50 peratus.

"Jangkaan adalah untuk BNM menaikkan lagi 25 mata asas pada November 2022 dan 25 mata asas lagipada Januari 2023. Ini akan membawa kadar dasar kembali ke paras pra-COVID sebanyak 3.00 peratus.

"Ringgit kekal lemah walaupun usaha menstabilkan mata wang dengan menggunakan kira-kira AS$9.5 bilion rizab BNM," katanya.

Ringgit telah menyaksikan penilaian paling lemah berbanding dolar AS iaitu pada paras RM4.88 sedolar pada 31 Mac 1998.


Sumber:https://www.bharian.com.my/bisnes/pasaran/2022/10/1017201/ringgit-dijangka-kembali-kukuh-suku-kedua-tahun-hadapan

Pages: [1]
View full version: Ringgit dijangka kembali kukuh suku kedua tahun hadapan


ADVERTISEMENT