Raline Publish time 24-10-2022 12:25 PM

Penghormatan golongan hawa

Penghormatan golongan hawa
https://assets.hmetro.com.my/images/articles/anitasalm1_1666306834.jpg
ISLAM juga tidak menghalang atau menafikan hak keterlibatan wanita bersama-sama dalam soal kepemimpinan. FOTO AFP


Keterlibatan wanita dalam kepemimpinan melalui pelbagai peringkat, portfolio, peranan dan sebagainya adalah sesuatu yang tidak dapat disangkal bahkan jumlahnya semakin meningkat dalam tadbir urus sesebuah negara.

Kaum wanita di Malaysia diberi ruang untuk memimpin dalam pelbagai bentuk organisasi dan tahap perjawatan antara contoh ialah jawatan Menteri Pengajian Tinggi digalas oleh YB Datuk Seri Dr Noraini binti Ahmad.

Seterusnya,Naib Canselor wanita pertama Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang diterajui oleh Profesor Datuk Ts Dr Hajah Roziah binti Mohd Janor.Begitu jugaGabenor Bank Negara Malaysia pernah dipimpin oleh Tan Sri Datin Paduka Dr Ungku Zeti Akhtar binti Ungku Abdul Aziz sebagai wanita yang pertama dilantik.

Sejarah juga mencatatkan Khadijah binti Khuwailid RA adalah tokoh perniagaan sebelum berkahwin dengan Nabi SAW, manakala selepas berkahwin beliau tampil sebagai insan dan wanita pertama beriman serta berani membela perjuangan Nabi SAW.

Sementara, Aisyah binti Abu Bakar RA pula terkenal sebagai pemimpin keilmuan yang menjadi rujukan para sahabat sama ada lelaki atau wanita dalam menuntut ilmu dan belajar.

Seterusnya, 'sahabiyah' iaitu Nusaybah binti Ka'ab yang terkenal dengan keberanian di medan tempur untuk melindungi dan membentengi Nabi SAW daripada serangan yang muncul melalui pelbagai sudut.

Namun, timbul juga pandangan yang menghalang wanita menjadi pemimpin dengan mengaitkan firman Allah SWT yang bermaksud:"Kaum lelaki itu adalah kaum pemimpin kepada wanita. Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggung jawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka."(Surah al-Nisa': 34)

Selain itu, terdapat juga yang mengaitkan halangan tersebut dengan firman Allah SWT yang bermaksud:"Wanita itu mempunyai hak sama seperti mempunyai tanggung jawab yang harus dilaksanakan dengan baik. Dan lelaki mempunyai kelebihan darjat ke atas mereka."(Surah al-Baqarah: 228)

Menurut Imam al-Qurtubi dalam mentafsirkan ayat di atas bahawa perkataan 'darjat' membawa maksud kelebihan dan keistimewaan kaum lelaki daripada sudut kekuatan fizikal, akal dan ketegasan yang menjadi tonggak kekuatan dalam urusan pemerintahan.

Terdapat juga hadis tentang anak perempuan Kisra iaitu Buran yang menjadi Raja Parsi selepas kematian ayahandanya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:"Tidak akan mencapai kejayaan selama-lamanya sesuatu kaum yang melantik wanita untuk memimpin urusan mereka."(Riwayat al-Bukhari no. 4425)

Perbahasan keharusan kepemimpinan wanita perlu dilihat pandangan ulama yang membahagikan kepemimpinan kepada dua bahagian.

Pertama,'wilayah ammah' iaitu tampuk kepemimpinan yang sangat luas dan tertinggi. Contohnya jawatan ketua nombor satu dalam sesebuah negara atau disebut sebagai khalifah.

Kedua,'wilayah khas' iaitu tampuk kepemimpinan di peringkat kecil daripada jawatan-jawatan tertinggi dalam sesebuah negara. Contohnya ialah selain daripada jawatan utama dan penting.

Majoriti ulama berpendapat bahawa larangan dalam al-Quran dan hadis seperti dinyatakan di atas hanya pada 'wilayah ammah' iaitu kepemimpinan tertinggi dalam pemerintahan sesebuah negara.

Sementara, dalam konteks 'wilayah khas' tidak dilarang bahkan diharuskan. Islam tidak membenarkan wanita berada di tampuk tertinggi negara antaranya kerana merupakan suatu penghormatan supaya tidak membebankan dan memberatkan wanita yang tidak ada pada kaum lelaki iaitu mengandung dan melahirkan.

Demikianlah, Islam juga tidak menghalang atau menafikan hak keterlibatan wanita bersama-sama dalam soal kepemimpinan tetapi untuk memberikan maslahah atau faedah serta mengelakkan bencana atau kemudaratan.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor


Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/2022/10/894657/penghormatan-golongan-hawa

Pages: [1]
View full version: Penghormatan golongan hawa


ADVERTISEMENT