Raline Publish time 24-10-2022 12:24 PM

Manhaj hadis ulama sufi ada kelainan?

Manhaj hadis ulama sufi ada kelainan?

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/23HMADDIN_1666479668.jpg
OBJEKTIF utama kitab ulama sufi adalah berkaitan pembangunan hati, rohani, adab dan akhlak, bukan aspek akidah dan hukum.


Sesetengah golongan Wahhabi mendakwa ahli sufi menjadikan hadis daif sebagai manhaj khas untuk dijadikan dalil bagi mengesahkan segala perkataan dan tindakan mereka.

Bagaimanapun, penulis tidak menemui pernyataan khusus ahli sufi yang jelas menegaskan atau mengiktiraf bahawa itu adalah manhaj hadis mereka. Justeru, dakwaan di atas boleh dikatakan sebagai satu hipotesis yang amat lemah.

Malah, sebenarnya masih banyak hadis sahih dan hasan yang mencakupi sebahagian besar dalil yang dikemukakan ulama sufi dalam kitab mereka.

Antaranya seperti dalam karya Imam al-Muhasibi, al-Hafiz as-Sulami pengarang Tabaqat as-Sufiyyah, Imam al-Qusyairi, Imam Abu Talib al-Makki pengarang Qut al-Qulub, Imam al-Ghazali pengarang Ihya' 'Ulumiddin, Syeikh 'Abdul Qadir al-Jailani, Imam at-Tusi pengarang al-Luma', Imam as-Sya'rani pengarang Lawaqih al-Anwar dan lain-lain.

Meskipun ramai ulama sufi bukan ahli dalam seni kritik dan selok-belok hadis (al-sina'ah al-hadithiyyah), namun secara umum mereka masih mempraktikkan kaedah ilmu hadis yang muktabar iaitu tidak menggunakan hadis daif dalam masalah akidah dan hukum. Ini jelas kerana objektif utama kitab ulama sufi adalah berkaitan pembangunan hati, rohani, adab dan akhlak, bukan aspek akidah dan hukum.

Tidak dinafikan ada didapati hadis daif, tidak bersumber, munkar dan palsu dalam karya mereka. Namun, ini bukan salah satu hujah untuk kita menghukum mereka sebagai salah atau sesat.

Bukan kriteria sesatnya sesuatu golongan hanya semata-mata mereka berdalil dengan hadis daif atau menggunakan hadis palsu tanpa sengaja. Jika tidak, ramai ulama yang boleh dihukumkan demikian.

Kelonggaran dalam meriwayatkan dan merekodkan hadis bukan sahaja terdapat dalam kitab ahli sufi, bahkan ia juga didapati berlaku meluas dalam kitab ahli fiqah, ahli usul, ahli tafsir, ahli kalam, ahli lughah, malah ahli hadis sendiri!

Misalnya, Imam Ibn Majah disepakati oleh ulama pengkritik hadis bahawa terdapat sejumlah hadis palsu dalam kitab Sunannya. Begitu juga al-Hakim an-Naisaburi, ulama pengkritik hadis berpendapat bahawa terdapat sejumlah hadis palsu dalam kitab al-Mustadrak beliau.

al-Khatib al-Baghdadi pengarang Tarikh Baghdad, meskipun banyak menyusun kitab ilmu hadis, namun beliau turut meriwayatkan banyak hadis yang terdapat perawi pendusta atau pemalsu hadis dalam sanadnya tanpa sebarang ulasan.

Begitu juga dengan al-Hafiz Abu Nu'aim al-Asbahani pengarang kitab Hilyat al-Awliya', terdapat hadis yang dapat dinilai palsu dalam karya beliau.

Tokoh hadis besar yang lain seperti Imam at-Tabarani pengarang al-Ma'ajim al-Thalathah, Imam Ibn 'Asakir ad-Dimasyqi pengarang Tarikh Dimasyq, al-Hafiz Abu as-Syeikh al-Asbahani, al-Hafiz Ibn Syahin, Imam Ibn Abi ad-Dunya, al-Hafiz Ibn an-Najjar, Imam al-Bayhaqi, al-Hafiz ad-Daylami dan lain-lain semuanya turut meriwayatkan banyak hadis yang terdapat perawi pendusta atau pemalsu hadis pada sanadnya.

Imam as-Suyuti juga didapati longgar dalam merekodkan hadis, terutama dalam kitabnya al-Jami' as-Saghirhingga didapati banyak hadis palsu di dalamnya seperti yang dijelaskan oleh al-Hafiz Ahmad al-Ghumari dalam kitab al-Mughir.

Lebih menghairankan, Imam Ibn al-Jawzi yang terkenal dengan ketegasannya dalam mengkritik hadis, tetapi memuatkan sejumlah hadis palsu dalam karya motivasinya seperti dalam kitab Zam al-Hawa. Imam Ibn Hazm az-Zahiri yang tegas dalam penilaian hadis juga pernah dikatakan menggunakan hadis palsu.

Demikian juga Syeikh Ibn Taymiyyah dan muridnya, Syeikh Ibn Qayyim al-Juziyyah. Begitu juga sebahagian ahli hadis yang menghimpunkan riwayat mengenai sifat-sifat Allah SWT sehinggakan mereka digelar sebagai Hasyawiyyah.

Kitab ahli tafsir juga tidak terlepas daripada memuatkan sejumlah hadis palsu, meskipun ketokohan dan kehebatan mereka dalam bidang tafsir al-Quran. Antaranya seperti tafsir Imam at-Tha'alibi, Imam an-Nasafi, Imam al-Qurtubi, Imam Fakhr ad-Din ar-Razi, az-Zamakhsyari, Imam al-Khazin, Imam al-Baghawi, Syeikh Isma'il Haqqi pengarang Ruh al-Bayan, Imam as-Sawi dan lain-lain.

Demikian juga halnya berlaku dalam karya fiqah, usul, sirah nabawiyyah, sejarah dan sebagainya.

Keuzuran mereka semua, termasuk ulama sufi dalam memuatkan hadis palsu sebenarnya boleh kita terima tanpa menghilangkan rasa hormat dan merendahkan kedudukan tinggi mereka sebagai alim ulama iaitu disebabkan mereka tidak berkeahlian atau berkesempatan untuk mendalami seni kritik dan selok-belok hadis (al-sina'ah al-hadithiyyah).

Kita yakin, mereka mempunyai sifat sangka baik (husnu az-zan) yang cukup tinggi terhadap guru atau karya ulama yang merekodkannya.

Maka, sewajarnya sikap sangka baik kita terhadap mereka pula ialah jika mereka tahu bahawa ia jelas benar-benar palsu dan dusta ke atas Rasulullah SAW, nescaya mereka orang pertama yang paling jauh daripada menyebutkannya.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/2022/10/895281/manhaj-hadis-ulama-sufi-ada-kelainan

Pages: [1]
View full version: Manhaj hadis ulama sufi ada kelainan?


ADVERTISEMENT