mattzzx Publish time 16-10-2022 10:20 AM

RMP Terengganu juara Liga Ragbi Terengganu 2022

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/ug_1665836033.jpg
ROHAIMI menjulang piala sebagai meraikan kejayaan anak buahnya menewaskan Pasukan Ragbi Kemaman. FOTO Zaid Salim

Kuala Nerus: Pasukan Royal Malaysia Police (RMP) Terengganu menepati jangkaan apabila muncul juara Liga Ragbi Terengganu 2022 yang berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, semalam.

RMP yang dibarisi anggota dan pegawai dari semua jabatan polis seluruh negeri ini berjaya menewaskan Pasukan Ragbi Kemaman di pentas akhir dengan keputusan 19-5 sekaligus membawa pulang trofi, piala pusingan dan medal.

Pasukan Ragbi Marang muncul tempat ketiga selepas menundukkan UnisZa, 18-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat di stadium sama.


Pasukan lain menyertai kejohanan yang bermula sejak awal bulan ini adalah Pasukan Ragbi Besut dan Kerteh.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata beliau mengucapkan tahniah diatas kejayaan anak buahnya berjaya menjuarai liga berkenaan sekaligus memberi keyakinan pasukan itu memburu gelaran juara pada Kejohanan Ragbi Piala Ketua Polis Negara (KPN) tahun depan.

Beliau berkata, gabungan jurulatih PDRM dan Persatuan Ragbi Negeri Terengganu dilihat berjaya menaikkan prestasi dalam membentuk sebuah pasukan yang mantap.

"Dalam kejohanan Piala KPN tahun ini yang diadakan di Ipoh, Perak, Januari lalu, kita hanya sekadar mampu mara ke pusingan kedua sahaja.

"Melihat daripada prestasi dan semangat juang ditunjukkan pemain, saya percaya Terengganu mampu menjadi saingan kepada pasukan lain dalam merebut kejuaraan pada kejohanan itu nanti," katanya selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang.

Rohaimi berkata, kontinjen Terengganu berhasrat untuk menjadi tuan rumah pada Kejohanan Ragbi Piala KPN tahun depan.

Bagi tujuan itu katanya, pihaknya akan mengusulkan cadangan itu kepada Majlis Sukan PDRM.

Beliau berkata, dengan fasiliti lengkap di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail serta kemudahan asrama sukan yang terletak bersebelahan, pihaknya berharap cadangan itu dapat dipertimbangkan.

Rohaimi menjelaskan, sebagai persiapan menghadapi kejohanan Piala KPN, pihaknya merancang untuk mengadakan lebih banyak siri perlawanan persahabatan bagi memantapkan lagi pasukan menghadapi kejohanan lebih besar.
https://www.hmetro.com.my/arena/lain/2022/10/892801/rmp-terengganu-juara-liga-ragbi-terengganu-2022
Pages: [1]
View full version: RMP Terengganu juara Liga Ragbi Terengganu 2022


ADVERTISEMENT