sfhzuraz Publish time 13-10-2022 12:44 PM

MINDEF perlu rombak proses pemerolehan aset pertahanan negara

MINDEF perlu rombak proses pemerolehan aset pertahanan negara



Oleh Nor Azizah Mokhtar - Oktober 13, 2022 @ 12:11pm   norazizah@nstp.com.my



https://assets.bharian.com.my/images/articles/defence0710_1665634931.jpg
Gambar hiasan - NSTP/ASWADI ALIAS



KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) perlu merombak proses pemerolehan aset pertahanan negara secara keseluruhan bagi memastikan proses itu dapat dilaksanakan secara lebih telus.
Persatuan Pegawai-pegawai Bersara Angkatan Tentera (RAFOC) menyifatkan usaha MINDEF menubuhkan Jawatankuasa Pelaburan Pertahanan bagi mencegah dan mengelak penyelewengan dalam pemerolehan aset bawah kementerian itu, adalah baik tetapi ia belum mencukupi.
Presidennya, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Abdul Aziz Ibrahim, berkata proses sedia ada berhubung pemerolehan aset itu perlu dirombak secara keseluruhan dengan berpandukan beberapa perkara.
"Teguran Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) adalah asas kebertanggungjawaban pihak pemegang taruh, merupakan prinsip perlu dipatuhi.
"Keperluan mengikut spesifikasi dan objektif pemerolehan aset oleh pengguna, iaitu ketiga-tiga cabang perkhidmatan darat, laut dan udara, hendaklah diutamakan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, Abdul Aziz berkata, dasar kerajaan untuk membangunkan keupayaan teknologi di dalam negara serta mengembangkan industri pertahanan, memang difahami tetapi perlu wujud keseimbangan antara keupayaan pertahanan dengan industri.
Dalam konteks ini, beliau menegaskan, objektif industri pertahanan tidak wajar mengatasi tujuan utama pemerolehan aset.
"Perkara seterusnya ialah dasar kemakmuran ekonomi 'lawan' memperkukuhkan pertahanan. Keputusan lampau menjadikan pemerolehan aset pertahanan objek dagangan dalam perdagangan barter, sebagai contoh negara tertentu dipilih kerana satu-satunya negara yang sanggup membeli minyak sawit.
"Peruntukan yang mencukupi juga perlu sentiasa diberi keutamaan bagi penyenggaraan berkesan aset-aset pertahanan untuk jangka panjang, demi menjaga kesiapsiagaan pasukan serta jangka hayat aset terbabit.
"Menerusi peruntukan itu, ia dapat memastikan pengoperasian segala aset strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada pada tahap optimum dengan keupayaan diatur gerak pada bila-bila masa," katanya.
Abdul Aziz berkata, kerajaan juga wajar mengikut contoh Great Britain dan Australia yang mana cadangan pembelian aset pertahanan ketenteraan dibentangkan kepada jawatankuasa khas pada peringkat Parlimen.
"Cadangan itu hendaklah diambil serius jika semua pihak benar-benar meletakkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pemerolehan aset pertahanan.
"Soal kerahsiaan dan strategik yang dibimbangkan, mesti ada cara untuk mengurangkan risiko berkaitan," katanya.
Beliau berkata, ATM perlu sentiasa di hadapan untuk pembangunan kapasiti, pemerolehan aset baharu, penyelenggaraan dan menaik taraf aset pertahanan negara.
"Begitu banyak perbincangan yang menjurus kepada kepincangan serta kelemahan berhubung dasar pemerolehan aset, tadbir urus dan penguatkuasaan yang berakhir dengan kerugian kepada ATM.
"Sebarang isu berhubung pemerolehan aset pertahanan tidak wajar dijadikan modal politik keterlaluan yang boleh menjejaskan kualiti pertahanan negara secara keseluruhan," katanya.



sumber





Pages: [1]
View full version: MINDEF perlu rombak proses pemerolehan aset pertahanan negara


ADVERTISEMENT