sfhzuraz Publish time 5-10-2022 12:54 PM

Aset usang, TLDM minta kerajaan peruntukkan 1.5 peratus daripada KDNK

Aset usang, TLDM minta kerajaan peruntukkan 1.5 peratus daripada KDNK

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my


https://assets.hmetro.com.my/images/articles/hm222tldlm_1664944883.jpg
KAPAL TLDM untuk menjalani latihan tahunan intra. FOTO TLDM



Kota Kinabalu: Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Sabri Zali berharap, Bajet 2023 bakal dibentang akan menitik-berat perolehan baharu serta segera menaik taraf keupayaan aset-aset ketenteraan yang semakin berusia.
Kata beliau, penambahan bajet pertahanan amat kritikal terutama sekali dalam meningkatkan keupayaan aset tempur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berdepan isu keusangan.
"Markas Pemerintahan Armada Timur amat bersetuju dengan kenyataan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, yang mencadangkan peningkatan bajet pertahanan 2023 kepada 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Isu keusangan aset merupakan cabaran utama yang didepani TLDM dalam usaha mengatur gerak aset-asetnya secara maksimum.
"Dengan perubahan landskap ancaman maritim semasa dan campur tangan kuasa besar di Laut China Selatan, TLDM sangat memerlukan aset-aset berkeupayaan tempur. Buat masa ini, keupayaan tempur aset-aset TLDM pada tahap kritikal.
"Malah, aset-aset di bawah Armada Timur hanya terdiri dari flotila ronda yang tidak dilengkapi keupayaan tempur seperti sistem persenjataan, radar pengawasan serta penjejak dan peluru berpandu.
"Justeru, perolehan aset baharu seperti Littoral Combat Ship (LCS) dan Littoral Mission Ship (LMS) kumpulan kedua amat kritikal bagi TLDM mengalas tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan," katanya pada kenyataan semalam.
Dalam pada itu, katanya Markas Pemerintahan Armada Timur berpendapat bahawa isu keusangan ini tidak akan berlaku jika kerajaan menyediakan peruntukan pertahanan yang mencukupi pada setiap tahun.
"Cadangan peruntukan 1.5 peratus daripada KDNK negara khusus untuk pertahanan bukan sesuatu yang mustahil dilaksanakan sekiranya kerajaan benar-benar serius terhadap isu keselamatan dan kedaulatan negara.
"Bajet pertahanan perlu diibaratkan seperti membeli polisi insurans kepada keselamatan negara. Keselamatan negara akan berdepan risiko yang tinggi sekiranya kerajaan hanya membeli polisi yang minimum. Kesannya akan lebih merugikan kerajaan bila negara berdepan krisis keselamatan," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Markas Pemerintahan Armada Timur akan kekal fokus mendukung misi TLDM untuk mempertahankan kedaulatan dan melindungi kepentingan maritim negara.
Katanya, walaupun aset-aset sedia ada bukan pada tahap yang terbaik, Armada Timur akan kekal komited dan bersedia sebilang masa untuk memikul tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sedaya mungkin.
"Janji TLDM dizahirkan melalui Eksesais KERISMAS 27/2022 yang sedang berlangsung di Laut China Selatan.
"Pada ketika ini, 23 aset Armada Timur dan Barat berada di pangkalan TLDM Kota Kinabalu untuk menjalani latihan tahunan intra-TLDM ini," katanya.
Jelas beliau lagi, eksesais tahunan ini akan menguji tahap kesiagaan aset-aset TLDM dan kecekapan warga kapal dalam melaksanakan setiap prosedur operasi maritim serta menilai sistem sokongan bahagian logistik TLDM.



Disiarkan pada: Oktober 5, 2022 @ 12:41pm


sumber
Pages: [1]
View full version: Aset usang, TLDM minta kerajaan peruntukkan 1.5 peratus daripada KDNK


ADVERTISEMENT