lanesra Publish time 4-10-2022 01:46 PM

Buku 'Gelagat dan Ragam Orang Melayu'. Melayu di mata Frank Swettenham.


https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2022/06/WhatsApp-Image-2022-06-05-at-12.27.15-AM.jpeg

Oleh Abdullah Hussaini

Hampir keseluruhan masa kecilnya dihabiskan bersama ibu, tanpa sempat mengenal dekat sang ayah, dan kita tidak akan hairan apabila 23 tahun kemudian seorang sultan menulis tentangnya dengan menyebut: “Dia sangat bijak, arif perihal adat-istiadat kerajaan Melayu dan pandai mengambil hati Raja-raja dengan bermanis mulut, percakapan yang lunak dan manis hingga sesiapa yang berada bersamanya seakan mencium wangi bungaan.”

Frank Athelstane Swettenham dihantar ke Singapura pada 1871, belajar bahasa Melayu seterusnya lulus peperiksaan. Pada tahun-tahun berikutnya dia memainkan peranan penting sebagai perantara British dalam beberapa campur tangan di negeri-negeri Melayu. Pada 1882, dia dilantik sebagai residen negeri Selangor dan pada 1889 sebagai residen Perak.

Selain pandai berkata-kata dan bijak berhelah, Swettenham juga seorang penulis. Bersama Hugh Clifford, mereka menyusun kamus Melayu-Inggeris. Dia juga menulis beberapa buku dan antara yang terkenal—isinya masih menjadi sebutan serta dipercayai—Malay Sketches.

Malay Sketches kini diterbitkan dalam bahasa Melayu menggunakan judul Gelagat & Ragam Orang Melayu. Ia hasil pertama usaha sama antara Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dan Media Selangor bawah projek Siri Pencerahan Selangor.

Jadi rujukan

Bolehkah pemerihalan seorang pegawai penjajah menjadi rujukan kita? Mahu saja saya katakan, dengar boleh percaya jangan. Tetapi, nanti dahulu. Dalam selut yang likat sekalipun ada keli dan belut yang boleh kita pedap.

Para peminat sejarah atau kesusasteraan tentu tidak dapat menafikan keindahan bahasa nukilan Frank Swettenham. Pada bab terawal, kita dibawa mengenali sebuah tanah yang dilingkungi bukit-bukau dan pergunungan, kehijauan belantara dan binatang-binatangnya.

Pegawai jajahan ini juga menyebutkan hiruk-pikuk yang berlaku di depan matanya: perang dan lanun, persengketaan sesama pembesar dan betapa kehadiran British untuk menyedar dan membangunkan mereka.

Di sebalik semua ini, dia mencirikan orang Melayu daripada kefahamannya seperti; orang Melayu pintar berbicara, bersopan-santun, setia dalam bersahabat dan bersikap tenang. Namun dia turut mencirikan keburukan yang ada pada mereka, dan salah satu pencirian itu yang tak lekang dalam kepercayaan umum sehingga kini adalah orang Melayu itu pemalas.

Berikut yang ditulisnya: “Walaupun begitu, orang Melayu sangat pemalas dalam apa-apa hal sekalipun, tidak mempunyai cara atau aturan tertentu, sehinggakan waktu makan pun tidak mempunyai ketetapan dan mereka beranggapan masa tidaklah penting.”

Demikianlah catatan seorang penjajah Eropah yang memuji bangsa yang dijajahnya tetapi dalam masa sama memandang rendah terhadapnya.

Walhasil, penjajahan bukan sekadar meninggalkan kesan kepada jasmani dan ekonomi negara, namun ikut meninggalkan jejak dalam rangka fikir warganya. Pun begitu sebahagian kelakuan buruk yang disebutkan dalam buku ini bersifat sejagat.

Pembinaan landasan keretapi dari Kuala Lumpur ke Klang merupakan cetusan Swettenham ketika bertugas di Selangor. Namanya diangkat sebagai nama tempat, Port Swettenham (kemudian ditukar kepada Pelabuhan Klang).

Pembunuhan Birch

Sesudah Selangor, Swettenham berkhidmat di Perak dan di sanalah kita dipertemu dengan kisah James Wheeler Woodford Birch, nama yang tidak asing lagi dalam sejarah Perak. Swettenham mengisahkan semula perihal residen pertama Perak itu dengan teliti.

Sambil mengakui ketidakfahaman Birch akan adat isitiadat Melayu dan kegopohannya hendak melaksanakan perubahan, Swettenham jelas menganggap perancang dan pelaksana pembunuhan Birch sebagai bersalah.

Dia mengesampingkan perasaan dan kehendak sebenar warga Perak yang terang-terangan menolak Birch di Pasir Salak apabila kehadirannya disambut dingin lebih 60 orang penduduk ketika dia tiba untuk menampal perisytiharan kuasa residen. Siputum digambarkan sebagai seorang yang naif dan baik tetapi “tidak faham bahawa setiap individu perlu menanggung sendiri akibat tindakannya.”

Swettenham sendiri selaku peguam pendakwa yang terlibat dalam perbicaraan sekadar menyimpulkan British mendapat pengajaran berguna daripada pembunuhan Birch.

Mari jenguk beberapa bab lain yang menarik dalam buku ini. Pertama, Perkelahan. Digambarkan persediaan perkelahan bermula seawal pagi, lebih 60 orang pengelah, bersama 12 hingga 15 ekor gajah, garam dan beras, beberapa budak lelaki serta pengikut yang berjalan kaki. Mereka ke bukit kapur, melewati gua-gua bawah air dan tiba ke danau nan luas. Di situ mereka menangkap ikan menggunakan ubat bedil. Berjenis-jenis ikan ditangkap seperti kelah dan tengas.

Hasil tangkapan dibakar, dinikmati bersama garam dan nasi dalam daun pisang. Ketika dalam perjalanan pulang, sambil menunggang gajah, mereka saling berbaling buah hutan seperti perang. Terdapat juga bab berkenaan joget, amuk, latah dan menjala ikan. Bagi Swettenham, tarian Melayu membosankan dan tidak menarik. Namun, gerak tari dan alat muzik dicatatkannya dengan baik.

Dalam salah satu persembahan yang dihadiri, Swettenham menonton beberapa persembahan tarian yang melambangkan kegiatan pertanian seperti memugar tanah, menyemai benih, menuai dan menampi padi.

Cerita paling mengasyikkan adalah pada bab terakhir iaitu Sepetang di Tanah Melayu. Gambaran alam yang dinukil Swettenham membuatkan pembacanya mahu kembali ke masa silam.

Buku Gelagat dan Ragam Orang Melayu adalah rakaman seorang pegawai penjajah yang condong kepada tuannya. Namun kita harus akui beberapa catatannya penting untuk kita menoleh ke belakang, meneliti yang indah dan yang buruk, sebelum mengorak langkah lebih jauh.


Artikel asal : https://selangorkini.my/2022/06/melayu-di-mata-frank-swettenham-pintar-setia-tapi-malas/

fly_in_d_sky Publish time 7-10-2022 06:55 AM

dah baca
menarik dan rasanya uncle Frank Swetteham ni orang yang tak berat sebelah
i mean dari cara dia cerita lah
Pages: [1]
View full version: Buku 'Gelagat dan Ragam Orang Melayu'. Melayu di mata Frank Swettenham.


ADVERTISEMENT