mattzzx Publish time 29-9-2022 01:01 PM

TSG terima RM2 juta daripada Terengganu Inc

https://assets.bharian.com.my/images/articles/tasdsag34gt24g_1664424028.jpg
Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun (dua kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Polygon Cycling Team, (TSG), Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood (dua kiri) semasa majlis Menandatangani Kontrak Penajaan di Studio TSG. - Foto NSTP/Ghazali Kori

KUALA TERENGGANU: Pasukan berbasikal nombor satu Asia, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), mendapat penajaan bernilai RM2 juta daripada Terengganu Incorporated (Terengganu Inc).

Tajaan itu bagi membolehkan pasukan bertaraf benua yang sudah menempa nama di persada dunia dapat meneruskan persaingan lebih hebat di pentas antarabangsa bagi musim 2023.

Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@harun berkata, tajaan dalam bentuk tunai itu bagi memastikan pasukan yang berpangkalan di Kuala Terengganu itu dapat meneruskan momentum kecemerlangan dalam saingan musim depan.

Beliau berkata, jumlah penajaan musim baharu dinaikkan berbanding tahun ini selepas melihat peningkatan prestasi diperagakan TSG termasuk kejayaan merangkul gelaran juara Asia dalam Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), tahun lalu.


"Tajaan secara bersama TDM Berhad dan Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) ini selepas melihat kepada prestasi tinggi yang konsisten diperagakan TSG pada tahun ini.

"Musim ini sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan kepada TSG, tapi bagi musim 2023, nilai tajaan dinaikkan sehingga RM2 juta sekali gus memperkasakan lagi jenama secara komprehensif serta mengukuhkan hubungan antara kedua-dua pihak.

"Jadi suntikan kewangan dengan tambahan RM500,000 ini diharap dapat membantu pasukan terbaik negara itu melakukan persediaan dan perancangan lebih rapi bagi melakar kejayaan yang lebih membanggakan pada musim baharu nanti.

"Kita juga optimis dengan penajaan sedia ada dan suntikan penajaan baharu ini yang masuk tahun kelima berturut-turut, pelumba TSG mampu bersaing hebat di bumi sendiri dalam saingan Le Tour de Langkawi (LTdL), yang dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 18 Oktober depan," kata Burhanuddin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis memeterai perjanjian penajaan antara Terengganu Inc dengan TSG di sini petang semalam.

Pada majlis itu, Burhanuddin menandatangani perjanjian bagi pihak Terengganu Inc manakala TSG diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood.

Sementara itu Che Ku Izmuddin berkata, bagi musim baharu nanti, TSG berjaya mengumpul jumlah penajaan sebanyak RM11 juta setakat ini dalam pelbagai bentuk termasuk barangan, perkhidmatan dan wang tunai.

Beliau berkata, jumlah penajaan tertinggi dalam sejarah penubuhan TSG bermula tahun 2011 itu diperoleh melalui hasil gerak kerja berpasukan selain sokongan padu daripada kerajaan negeri.

"Hasil kerjasama semua pihak termasuk kerajaan negeri serta kerja berpasukan, membolehkan kita berjaya mengumpul jumlah penajaan tertinggi dalam sejarah penubuhan TSG, Insya-Allah dalam tempoh lima tahun akan datang, kita merancang untuk miliki kompleks pentadbiran sendiri sekali gus bakal menaikkan lagi imej pasukan.

"Pada masa sama kita turut mengharapkan pelumba kita mampu bersaing hebat di pentas antarabangsa biarpun sedar ianya bukan tugas mudah untuk direalisasikan mereka," kata Che Ku Izmuddin.
https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2022/09/1006048/tsg-terima-rm2-juta-daripada-terengganu-inc
Pages: [1]
View full version: TSG terima RM2 juta daripada Terengganu Inc


ADVERTISEMENT