Raline Publish time 17-8-2022 04:02 PM

Sime Darby kekal keuntungan lebih RM1 bilion

Sime Darby kekal keuntungan lebih RM1 bilion

https://assets.bharian.com.my/images/articles/simedarby_1660722778.jpg
Sime Darby catat keuntungan bersih RM1.1 bilion pada tahun kewangan 2022 - Foto Reuters


KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd mengekalkan pencapaian keuntungan bersih melepasi angka RM1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 di tengah-tengah cabaran gangguan rantaian bekalan serta kos operasi lebih tinggi akibat isu kekurangan buruh.

Pada tahun kewangan dikaji, untung bersih konglomerat itu merosot kepada RM1.1 bilion berbanding RM1.4 bilion yang dicatatkan pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021 yang mengambil kira keuntungan sekali beri RM272 juta daripada pelupusan kepentingan dalam Tesco Malaysia.

Tanpa mengambil kira hasil pelupusan kepentingan itu, untung bersih kumpulan menyusut sedikit pada kadar 4.3 peratus disebabkan untung yang lebih rendah bagi perniagaan perindustrian dan automotif di China, yang terjejas akibat kemerosotan jualan seluruh industri peralatan berat, kekangan inventori dan sekatan COVID-19.

Bagi tahun kewangan dikaji, pendapatan Sime Darby juga merosot kepada RM42.5 bilion berbanding RM44.3 bilion pada tahun kewangan 2021.

Sime Darby mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 7.5 sen sesaham bagi suku keempat tahun kewangan 2022 dan bayaran dividen bagi tahun kewangan berkenaan berjumlah 11.5 sen sesaham atau RM783 juta, meliputi 71 peratus daripada untung bersih.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson, berkata bahagian automotif berdepan cabaran yang besar pada tahun kewangan dikaji, terutama di pasaran China.

Bagi pasaran Malaysia, katanya, ia masih mencatatkan prestasi cemerlang walaupun menghadapi sekatan pergerakan dalam tahun kewangan dikaji, dengan peningkatan sebanyak lebih 50 peratus keuntungan daripada operasinya.

Katanya, prestasi itu dicapai menerusi pengedaran BMW dan Porsche serta operasi pemasangan syarikat termasuk kejayaan pembukaan kilang pemasangan untuk Porsche di Kulim, kemudahan pertama jenama itu di luar Eropah.

"Kami melaporkan keuntungan berjumlah lebih RM1 bilion tahun ini walaupun menghadapi pelbagai cabaran disebabkan gangguan rantaian bekalan serta kos operasi yang lebih tinggi akibat masalah buruh," katanya pada sidang media pengumuman prestasi kewangan Sime Darby secara maya, hari ini.

https://assets.bharian.com.my/images/articles/jeffrisime_1660722781.jpg
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson


Mengulas lanjut, Jeffri berkata, harga komoditi yang kukuh memacu permintaan bahagian Perindustrian bagi peralatan di pasaran utamanya di Australia, namun kos overhed yang tinggi telah menjejaskan margin.

"Di China, kemelesetan aktiviti pembinaan menyebabkan kemerosotan lanjut dalam pasaran peralatan berat," katanya.

Beliau menegaskan, meskipun berdepan persekitaran perniagaan mencabar, Sime Darby kekal fokus kepada pelaksanaan pelan untuk merasionalisasi perniagaan bukan teras.

"Kami berjaya memeterai perjanjian untuk melupuskan kepentingan dalam Pelabuhan Weifang pada Julai. Penjualan ini bermakna kami telah keluar sepenuhnya daripada bidang logistik. Pada masa depan, kami berhasrat untuk menjadi sebuah entiti yang tertumpu, dengan dua pemacu pertumbuhan mantap, iaitu automotif dan peralatan berat.

"Kami yakin bahawa tenaga kerja yang mahir, jejak operasi yang luas dan sokongan daripada jenama terbaik di dunia dalam bidang peralatan berat dan automotif akan membantu kami terus berkembang maju.

"Kedudukan kewangan kukuh Sime Darby juga akan membolehkan kami merebut sebarang peluang yang mungkin timbul untuk mengukuhkan perniagaan teras dan membina kapasiti tambahan di sepanjang rantaian nilai," katanya.

Sumber:https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2022/08/989544/sime-darby-kekal-keuntungan-lebih-rm1-bilion


Pages: [1]
View full version: Sime Darby kekal keuntungan lebih RM1 bilion


ADVERTISEMENT