Raline Publish time 16-8-2022 03:11 PM

Pendapatan suku tahun Takaful Malaysia naik 19 peratus

Pendapatan suku tahun Takaful Malaysia naik 19 peratus

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/0815rstaka_1660557574.jpg
Nor Azman Zainal


Kuala Lumpur: Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad, pengendali takaful pertama di Malaysia, mencatatkan pendapatan operasi sebanyak RM831.9 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022.

Ia meningkat sebanyak 19 peratus berbanding RM701.2 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, disumbangkan oleh jualan lebih tinggi yang dijana daripada perniagaan Takaful Keluarga dan Takaful Am.

Kumpulan juga mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM107.2 juta, lebih tinggi sebanyak 12 peratus berbanding RM95.7 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, disumbangkan oleh pendapatan yuran wakalah bersih yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, keuntungan bersih kumpulan turun sebanyak 15 peratus daripada RM81.8 juta kepada RM69.7 juta, disumbangkan oleh Cukai Makmur dan perubahan dalam akta cukai ke atas pendapatan larasan berhubung dengan perniagaan Takaful Keluarga.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad, Nor Azman Zainal berkata, asas kewangan dan daya tahan operasi yang kukuh membolehkan syarikat meneruskan prestasi perniagaan yang baik pada 2022.

Katanya, kumpulan akan memanfaatkan kedudukan peneraju pasarannya dalam produk sumbangan tunggal sambil memberi tumpuan kepada produk sumbangan tetap runcit untuk mempelbagaikan lagi portfolio perniagaan.

"Ini adalah sebahagian daripada strategi utama untuk mengembangkan perniagaan dalam pasaran runcit yang belum diterokai kerana pasaran Takaful Keluarga mempunyai penembusan yang lebih rendah iaitu sebanyak 18.6 peratus," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Bagi suku berakhir 30 Jun 2022, perniagaan Takaful Keluarga mencatatkan caruman perolehan kasar sebanyak RM506.1 juta lebih tinggi sebanyak 14 peratus, berbanding RM444.1 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Peningkatan ini disebabkan oleh jualan yang lebih tinggi daripada produk berkaitan kredit.

Pendapatan pelaburan perniagaan Takaful Keluarga bagi suku dalam tinjauan juga meningkat kepada RM75.4 juta lebih tinggi sebanyak enam peratus daripada RM71.1 juta pada suku yang sama tahun lepas disebabkan oleh pendapatan keuntungan yang lebih tinggi daripada pelaburan pendapatan tetap.

Perniagaan Takaful Am terus menyokong pertumbuhan perniagaan dan keuntungan kumpulan.

Bagi suku dalam tinjauan, perniagaan Takaful Am menjana caruman perolehan kasar sebanyak RM232.6 juta, meningkat sebanyak 18 peratus berbanding RM197.2 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Pertumbuhan ini disebabkan oleh kelas perniagaan kebakaran dan motor.

Di samping itu, pendapatan pelaburan perniagaan Takaful Am meningkat sebanyak 12 peratus kepada RM8.2 juta daripada RM7.3 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya disebabkan keuntungan yang lebih tinggi daripada pelaburan pendapatan tetap.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/bisnes/2022/08/871852/pendapatan-suku-tahun-takaful-malaysia-naik-19-peratus

Pages: [1]
View full version: Pendapatan suku tahun Takaful Malaysia naik 19 peratus


ADVERTISEMENT