Raline Publish time 16-8-2022 01:56 PM

OPR akan kembali ke paras sebelum pandemik awal 2023

OPR akan kembali ke paras sebelum pandemik awal 2023

https://assets.bharian.com.my/images/articles/HQ202202HQ_M977bnm_1660625809.jpg
Bank Negara Malaysia (BNM) akan menilai perkembangan sebelum membuat keputusan untuk menaikkan OPR -NSTP/Aswadi Alias


KUALA LUMPUR: Kadar Dasar Semalaman (OPR), yang menjadi penanda aras kadar pinjaman di Malaysia dijangka kembali kepada 3.00 peratus seperti paras prapandemik menjelang suku pertama tahun depan.

Ketua Ahli Ekonomi Maybank Investment Bank, Suhaimi Ilias, berkata pihaknya menjangkakan kenaikan OPR sebanyak 75 mata asas secara beransur-ansur selepas kenaikan pada Mei dan Julai lalu dengan masing-masing sebanyak 25 mata asas.

Beliau berkata, aktiviti ekonomi dijangka menyederhana pada separuh kedua tahun ini berikutan negara terus berdepan kenaikan inflasi dan kadar faedah.

"Kami jangka kadar inflasi tiga peratus tahun ini dan lebih empat peratus tahun depan. Ia berikutan harga komoditi yang tinggi, kekangan rantaian bekalan, langkah rasionalisasi subsidi serta kenaikan kos perniagaan susulan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 Mei lalu," katanya pada webinar Siri Sektoral Bursa Malaysia-Maybank 'Why Malaysia?', malam tadi.

Mengenai dasar fiskal, Suhaimi berkata, pihaknya menjangkakan Bajet 2023 akan memperlihatkan kerajaan memulakan konsolidasi fiskal jangka sederhana bagi mencapai sasaran defisit 3.0 hingga 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025 berbanding 6.0 hingga 6.5 peratus yang dicatatkan sejak 2020.

Beliau berkata, proses konsolidasi fiskal perlu bermula tahun depan memandangkan 2023 dilihat sebagai titik pertengahan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Katanya, pelaksanaan langkah itu munasabah sejajar dengan komitmen pembaharuan fiskal, dengan kerajaan pada masa ini meninjau mekanisme sesuai untuk peralihan kepada pelaksanaan subsidi bersasar berbanding subsidi pukal.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Ekuiti Maybank, Anand Pathmakanthan berkata, impak kenaikan OPR terhadap pendapatan korporat dijangka sederhana berbanding impak kenaikan secara agresif kadar faedah di Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, pelarasan OPR secara secara beransur-ansur dan terkawal akan mengelakkan kesan buruk terhadap pendapatan korporat dan pengguna.

"Pasaran saham Malaysia kekal menarik dengan daya tarikannya sebagai (pasaran) bertahan di tengah-tengah persekitaran yang tidak menentu global. Kami juga melihat pembeli asing kembali ke pasaran dan menjadi pembeli bersih untuk beberapa bulan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada sesi panel yang dikendalikan Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata pasaran Malaysia kekal penting kepada pengurus dana persaraan itu.

Beliau berkata, KWSP telah meningkatkan pelaburannya dalam pasaran ekuiti tempatan bukan saja membabitkan saham bermodal besar, tetapi juga saham bermodal sederhana dan kecil.

Ketua Pegawai Pelaburan, Pelaburan Swasta dan Strategik Permodalan Nasional Bhd (PNB), Rick Ramli, pula berkata pasaran Malaysia kekal penting dalam Alokasi Aset Strategik (SAA), dengan sebahagian besar porfolio pelaburannya adalah dalam negara.

Beliau berkata, PNB akan terus bekerjasama dengan syarikat pelaburannya untuk pertumbuhan selanjutnya dalam menjamin pulangan yang baik dan menyumbang dari segi penjanaan kekayaan di negara ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Amirul Fiesal Wan Zahir, berkata Malaysia mempunyai kedudukan yang baik dalam rantaian bekalan global di samping mempunyai ramuan asas yang menarik untuk pelabur terus melabur di negara ini.

Beliau berkata, Malaysia juga mempunyai kelebihan termasuk potensi peralihan tenaga, pelaburan berkaitan kelestarian, penempatan semula rantaian bekalan global serta jaringan keselamatan makanan.

SumbeR:https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2022/08/989041/opr-akan-kembali-ke-paras-sebelum-pandemik-awal-2023

Pages: [1]
View full version: OPR akan kembali ke paras sebelum pandemik awal 2023


ADVERTISEMENT