Raline Publish time 16-8-2022 01:41 PM

Penubuhan institusi kewangan ASEAN mampu tarik pelabur

Penubuhan institusi kewangan ASEAN mampu tarik pelabur

https://assets.bharian.com.my/images/articles/SULTAN_NAZRIN_MUIZZUDDIN_SHAH_KLIFF_2022_1660626615.jpg
Raja Nazrin menyampaikan ucaptama ketika majlis perasmian KLIFF 2022 di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Hairul Anuar Rahim


KUALA LUMPUR: Idea menubuhkan institusi kewangan ASEAN boleh dipertimbangkan untuk menarik kemasukan pelaburan asing bagi membiayai projek infrastruktur dan seumpamanya di rantau ini, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda yang juga Penaung Diraja bagi Inisiatif Kewangan Islam Malaysia percaya penubuhan institusi sedemikian boleh membantu merangsang perdagangan dan meningkatkan pekerjaan, sesuatu yang sangat diperlukan memandangkan populasi besar di banyak negara ASEAN.

"Aktiviti ekonomi global terus beralih ke arah timur. Kita telah melihat pertumbuhan berterusan dan pengembangan pasaran pengguna di rantau ini, pembentukan rangkaian perdagangan yang meluas dan penciptaan persekitaran yang semakin mesra perniagaan di rantau ini.

"Sektor kewangan Islam boleh mengambil bahagian dan menggalakkan pertumbuhan selanjutnya di seluruh ASEAN melalui peranannya merangsang pelaburan dengan tumpuan kepada penciptaan nilai sosial," titahnya pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur 2022 (KLIFF 2022) di sini, hari ini.

Raja Nazrin bertitah, memandangkan kewangan Islam menjadi bahagian yang semakin penting dalam sistem kewangan global, ia juga pasti akan terjejas oleh perubahan landskap pasaran kewangan global.

Justeru, titah baginda, terdapat keperluan mendesak pada masa ini untuk menggerakkan kerjasama antarabangsa yang lebih besar untuk mengekalkan kestabilan kewangan global.

"Pandemik baru-baru ini telah menunjukkan bagaimana integrasi kewangan rentas sempadan mesti disertai dengan kerjasama dan penyelarasan antarabangsa. Ini adalah perlu untuk mengelakkan arbitraj kawal selia rentas sempadan serta risiko kesan penularan," titahnya.

Raja Nazrin bertitah, tempoh pasca wabak juga akan melakar lembaran baharu dalam fasa pembangunan kewangan Islam dengan trend semasa ke arah pengantarabangsaannya akan meningkat.

Justeru, baginda bertitah, usaha kolektif yang dipertingkatkan juga amat diperlukan untuk memastikan kewangan Islam tertakluk kepada peraturan yang koheren dan berkualiti tinggi.

"Struktur kawal selia ini mesti menjangkau semua sempadan, dengan aplikasi universal dan penguatkuasaan semua piawaian yang diperlukan. Ini akan menyumbang kepada integrasi antarabangsa kewangan Islam yang lebih berjaya.

"Dimensi antarabangsa yang dipertingkatkan ini akan disertai dengan set cabaran baharu, tercetus daripada persekitaran operasi yang berbeza secara asasnya. Ini akan dicirikan oleh dinamik yang lebih kompetitif, ketidakpastian yang lebih besar dan kerumitan yang jauh lebih besar," titahnya.

Sumber:https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2022/08/989050/penubuhan-institusi-kewangan-asean-mampu-tarik-pelabur

Pages: [1]
View full version: Penubuhan institusi kewangan ASEAN mampu tarik pelabur


ADVERTISEMENT