Raline Publish time 16-8-2022 01:40 PM

Harga getah kekal tinggi manfaatkan pekebun kecil

Harga getah kekal tinggi manfaatkan pekebun kecil

https://assets.bharian.com.my/images/articles/ZURAIDA_KAMARUDDIN_1660624938.jpg
Zuraida berucap pada majlis pelancaran Buku Pelan Antirasuah Lembaga Getah Malaysia, Getah Antirasuah 2021-2025 (GETAR 2021-2025) -NSTP/Fathil Asri

SUNGAI BULOH: Harga getah sekerap dijangka kekal tinggi dan mampu mencecah lebih RM3.50 sekilogram menjelang penghujung tahun ini sehingga 2023, sekali gus bakal memberikan pendapatan yang lebih tinggi kepada pekebun kecil.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata unjuran lonjakan harga itu berdasarkan kepada peningkatan permintaan global susulan pembukaan semula ekonomi.

Beliau berkata, permintaan terhadap komoditi getah adalah sangat tinggi di peringkat global berdasarkan lawatan kerja ke luar negara dan perbincangan dengan pelbagai pihak.

Justeru, katanya,sebagai negara pengeluar getah, Malaysia akan terus mengambil peluang memperkasakan produk komoditi itu.

"Harga getah (sekerap) akan kekal stabil pada RM2.50 sekilogram dan dijangka akan meningkat kepada lebih RM3.50 sekilogram.

"Di peringkat nasional, sudah tentu apabila permintaan meningkat, kita kena terus memastikan pengeluaran getah kekal tinggi.

"Jika pengeluaran dapat ditingkatkan, ia akan membawa kepada lonjakan eksport yang seterusnya menjadikan harga getah lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Buku Pelan Antirasuah Lembaga Getah Malaysia, Getah Antirasuah 2021-2025 (GETAR 2021-2025) di sini, hari ini.

Zuraida berkata, kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi juga sudah menyusun pelbagai pelan bagi memastikan industri getah kekal menjadi antara penyumbang utama ekonomi negara.

Beliau berkata, ini keranawalaupun permintaan global meningkat tetapi pengeluaran getah negara masih tidak mencukupi sehinggakan Malaysia perlu mengimport beberapa produk seperti getah sintetik.

"Namun jika kita mampu untuk tingkatkan keluaran dalam negara, mencukupi untuk kegunaan domestik dan eksport, itu akan mendatangkan hasil yang lebih tinggi.

"Bagi meningkatkan pengeluaran, ketika ini kita cuba melihat bagaimana untuk menguruskan pekebun dan estet secara lebih berstruktur.

"Jika ia dapat diuruskan lebih baik seperti pengurusan korporat, saya percaya ia akan memberikan lebih kemampanan dan hasil yang lebih tinggi," katanya.

Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif sebelum ini memohon kerajaan meningkatkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 kepada RM3.50 sekilogram.

Ia berikutan kebimbangannya terhadap pekebun getah yang akan bertukar kepada tanaman kelapa sawit sekiranya harga lantai getah sekerap tidak dinaikkan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah turut pernah menyatakan cadangan menaikkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram akan dijadikan sebagai input dalam penyediaan Bajet 2023.

Sementara itu, Zuraida berkata GETAR 2021-2025 adalah dokumen dasar antirasuah yang dijadikan sebagai rujukan komprehensif dan inklusif dalam menangani perilaku rasuah bagi

memperkukuh aspek tadbir urus dan integriti di LGM.

Beliau berkata, pelan itu dibangunkan selari dengan dasar dan matlamat kerajaan ke arah negara bebas rasuah menerusi pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

"GETAR 2021-2025 melambangkan hasrat dan usaha LGM secara kolektif untuk menyokong dan memperkasa agenda pembudayaan integriti nasional menerusi penyatuan semua usaha berkaitan

tadbir urus, integriti dan antirasuah dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik serta berintegriti," katanya.

Sumber:https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2022/08/989036/harga-getah-kekal-tinggi-manfaatkan-pekebun-kecil

Pages: [1]
View full version: Harga getah kekal tinggi manfaatkan pekebun kecil


ADVERTISEMENT