Raline Publish time 14-8-2022 11:10 AM

Seram tapi bukan tertekan

Seram tapi bukan tertekan

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/PS2-%C2%A9RapiFilms-Still64_1660429808.jpg
PENGABDI Setan 2 lebih seram.


FILEM Indonesia, Pengabdi Setan bukan lagi judul yang asing. Bahkan, mendengar dua perkataan itu disebut saja sudah mampu membuatkan bulu roma sesetengah daripada kita meremang.

Itu belum lagi dibayangkan babak menyeramkan daripada filem asal yang pernah diterbitkan pada 1980-an dan filem yang dihasilkan semula mengikut versi pengarah, Joko Anwar pada 2017.

Kini, kesinambungan Pengabdi Setan diteruskan lagi menerusi sekuelnya, Pengabdi Setan 2: Communion yang mula menghantui pawagam seluruh negara sejak Khamis lalu.

Berkesempatan bertemu dengan pengarahnya dalam temu bual secara virtual baru-baru ini, Joko berkongsi hala tujunya sebagai pengarah dalam menghasilkan karya seram yang menjadi bualan bukan saja di Indonesia, bahkan sehingga ke Malaysia dan negara tetangga lain.

"Pengabdi Setan 2 sememangnya direka dan dirancang untuk membawa penonton umpama menaiki 'roller coaster'. Karya filem itu seharusnya menghibur dan saya tidak pernah merancang untuk menghasilkan satu karya yang menegangkan sepanjang durasi tayangan.

"Saya tak mahu membuat penonton rasa seram sehingga rasa tertekan. Dengan situasi pandemik yang berlaku sebelum ini, saya tak mahu penonton rasa berduka cita," katanya.

Benar seperti yang dikatakannya, Pengabdi Setan turut menyelitkan beberapa babak serta dialog yang mencuit hati di samping meninggalkan persoalan buat penonton.

"Kemunculan Darminah lakonan Asmara Abigail dan Batara (Fachri Albar) di penghujung filem yang sedang menari itu juga sebenarnya meninggalkan sedikit persoalan. Pada masa sama, ada juga sedikit pembayang mengenai siapa mereka," katanya.

Berbanding filem pertama, Pengabdi Setan 2 berlatarkan lokasi yang lebih terhad iaitu kawasan perumahan rumah pangsa, yang terisi dengan kisah menyeramkan dan mengganggu emosi.

"Proses penggambaran dijalankan di rumah pangsa yang terbengkalai dan ditinggalkan selama 13 tahun ketika penggambaran dijalankan pada 2020. Kami sendiri pun tak pasti kenapa pembinaannya dihentikan dan lokasi itu sebenarnya tidak sesuai untuk penggambaran filem dijalankan.

"Jadi, ada beberapa ruang yang perlu kami perbaiki demi memastikan keselamatan setiap yang terbabit. Selain cabaran lokasi yang lama dan berbahaya, satu lagi cabaran adalah gangguan daripada perkara ghaib.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/PS2-Poster_27x39_1660429811.jpg
JOKO bawa penonton filem Pengabdi Setan 2: Communion umpama menaiki ‘roller coaster’.


"Jadi, kami sentiasa berdoa supaya proses penggambaran tidak diganggu oleh kejadian aneh dan menakutkan," katanya.

Secara ringkasnya, Pengabdi Setan 2 ini mengisahkan mengenai kehidupan keluarga Bahri Suwono yang kini berpindah dan menetap bersama tiga anaknya iaitu Rini, Toni dan Bondi selepas kematian isterinya.

Menetap di rumah pangsa berhampiran pantai, kehidupan keluarga mereka pada awalnya berjalan lancar sehinggalah berlaku satu kejadian aneh.

Siapa sangka, dalam pelarian mereka mencari tempat yang selamat, nampaknya, mereka masih dihantui dengan pengalaman mengerikan apabila berlaku banyak kematian akibat gangguan syaitan.

Situasi itu membuka ruang untuk Rini mencari dan meneroka rahsia di sebalik kehidupan keluarga mereka terutama bapanya yang turut membabitkan satu gerakan ajaran sesat.

"Kumpulan dan aktiviti ajaran sesat dalam dunia ini sebenarnya sangat menarik untuk kita gali. Bagi saya, ajaran sesat itu adalah bukti pemikiran manusia itu sangat kompleks.

"Kalau kita mencari jawapan menerusi agama, sesetengah orang yang lain pula mencari jawapan lain yang menurut mereka, apa yang diterangkan menerusi agama itu tidak mencukupi.

"Benda ini sentiasa membuat saya tertarik untuk diteroka dengan lebih mendalam, sekali gus menarik untuk diterjemahkan ke dalam bentuk cerita filem. Namun, ia bukanlah dinyatakan dengan jelas sama ada kumpulan ajaran sesat ini adalah mana-mana kumpulan spesifik. Namun, sekiranya ada yang kaitkan, tak ada masalah," katanya.

Selain Joko, turut menyertai sesi sidang media virtual itu adalah beberapa bintang utamanya iaitu Bront Palarae, Ratu Felisha, Endy Arfian dan Jourdy Pranata.

Bront yang memegang watak sebagai Bahri Suwono atau Bapak berkata, sekuel ini berjalan dengan lancar di samping beberapa cabaran baharu buatnya.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo_2022-08-12_18-06-36_1660429805.jpg
ANTARA barisan pelakon Pengabdi Setan 2.


"Pengalaman penggambaran kali ini berbeza dan lebih mencabar kerana lokasi dan pelbagai kelengkapan baharu. Bagaimanapun, prosesnya berjalan dengan sangat lancar memandangkan saya sendiri pernah bekerja di bawah arahan Joko.

"Semua yang terbabit umpama menyatu seperti keluarga dan itu membawa kami menuju fokus sama iaitu untuk memberikan yang terbaik buat penonton," katanya.

Endy yang memegang watak sebagai Toni berkongsi mengenai kematangan wataknya berbanding filem pertama.

"Dalam watak ini, ada beberapa perkembangan yang membezakannya dengan watak dalam filem pertama. Mungkin selepas apa yang dilaluinya dalam pengalaman lalu. Selain itu, ada beberapa pengalaman sendiri termasuk pengalaman trauma yang saya aplikasikan dalam filem ini," katanya.

Sementara itu, Felisha yang memegang watak sebagai Tari dan Jourdy sebagai Dino masing-masing berkongsi keterujaan mereka sebagai peminat filem pertama dan kini menjadi sebahagian daripada keluarga besar Pengabdi Setan 2.

Di Indonesia, Pengabdi Setan 2 berjaya memecahkan rekod apabila menjadi filem dengan jumlah penonton terbanyak pada hari pertama tayangan iaitu 700,000 penonton. Tentunya, di Malaysia juga tidak akan kurang hebat sambutannya walaupun ia perlu bersaing dengan filem seram lain yang kini sedang ditayangkan.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/utama/2022/08/871313/seram-tapi-bukan-tertekan



eddlisa_uyuk Publish time 19-8-2022 09:01 AM

CLOSE
thread dah ada yaaa


PENGABDI SETAN 2 (COMMUNION) - Filem & Wayang - Hiburan - Forum - CARI Infonet

Pages: [1]
View full version: Seram tapi bukan tertekan


ADVERTISEMENT