Raline Publish time 3-8-2022 10:06 AM

Untung JCorp naik lebih 100 peratus

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2022/08/agribisnes-1536x1152.jpg
Kenaikan harga minyak kelapa sawit telah memacu pertumbuhan pendapatan JCorp bagi tahun 2021.

Untung JCorp naik lebih 100 peratus

PETALING JAYA – Kumpulan Johor Corporation (JCorp) menca­tat prestasi cemerlang bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (TK2021) dengan lonjakan keuntungan selepas cukai lebih 100 peratus kepada RM379 juta berbanding kerugian selepas cukai sebanyak RM237 juta yang direkodkan tahun kewangan ­berakhir 2020 (TK2020).

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, prestasi tersebut bersandarkan kepada jumlah pendapatan sebanyak RM5.13 bilion iaitu peningkatan sebanyak 19 peratus berbanding RM4.3 bilion pada TK2020.

Menurut beliau, pencapaian memberangsangkan daripada segmen Agribisnes telah me­n­yumbang kepada jumlah pendapatan yang lebih tinggi bagi tahun kewangan ekoran peningkatan harga minyak sawit mentah dan isirung sawit.

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2022/08/pix-jcorp.jpg

“Di samping itu, segmen ke­sejahteraan dan kesihatan juga turut merekodkan peningkatan pendapatan yang lebih kukuh daripada aktiviti bisnes hospital terutamanya dengan pertambahan jumlah pesakit serta pelaksanaan langkah-langkah pengoptimuman kos di segenap segmen bisnes,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Sementara itu, segmen hartanah dan infrastruktur pula ­menyumbang kepada pendapatan Kumpulan menerusi pelbagai produk hartanah serta jualan tanah industri.

Tambah beliau, seiring pembudayaan norma baharu dan pelan penciptaan semula (reinvention), JCorp 3.0 telah memacu u­saha untuk memperkukuhkan JCorp sebagai sebuah institusi kalis masa hadapan yang berdaya tahan, tangkas dan mampan.

“Kejayaan pelaksanaan yang dibentuk menerusi pelan penciptaan semula JCorp 3.0 telah meraih pencapaian yang memberangsangkan sebagaimana yang dapat dilihat menerusi pendapatan bagi tahun fiskal 2021 walaupun menghadapi suasana yang sangat mencabar kini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Sumber:https://www.kosmo.com.my/2022/08/03/untung-jcorp-naik-lebih-100-peratus/


Pages: [1]
View full version: Untung JCorp naik lebih 100 peratus


ADVERTISEMENT