sfhzuraz Publish time 31-7-2022 11:00 AM

Sambutan Hari Pahlawan 2022 meriah, penuh istiadat

Sambutan Hari Pahlawan 2022 meriah, penuh istiadat

BERNAMA


https://assets.hmetro.com.my/images/articles/bcnbtrttttt_1659233361.jpg
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah Aminah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Hari Pahlawan 2022 di Dataran Pahlawan Negara hari ini. FOTO BERNAMA


Putrajaya: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berangkat ke istiadat perbarisan sambutan Hari Pahlawan Tahun 2022 di Dataran Pahlawan Negara di sini.
Istiadat sambutan Hari Pahlawan dimulakan dengan perarakan masuk Panji-panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Panji-panji Rejimen daripada Batalion Pertama, Rejimen Askar Melayu Diraja oleh Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat.
Lagu Negaraku dimainkan dengan diiringi 21 das tembakan meriam yang disempurnakan Leftenan Kolonel Mohd Asri Che Wil daripada 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja.
Seri Paduka kemudian memeriksa kawalan kehormatan utama.
Perbarisan Hari Pahlawan hari ini membabitkan 58 pegawai dan 867 anggota lain-lain pangkat daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia serta 152 veteran daripada Persatuan Veteran ATM, Kontinjen Pesara Polis dan Bekas Polis Malaysia.
Perbarisan diketuai Pegawai Memerintah Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD) Leftenan Kolonel Muhammad Ikhwan Hussin.
Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Istiadat kemudian diteruskan dengan tiupan Paluan Akhir yang dikenali sebagai last post dengan menurunkan Jalur Gemilang.
Istiadat turut disajikan dengan persembahan pantomim mengenai pengorbanan pejuang negara iaitu kisah daripada peristiwa pertempuran yang berlaku di Bakara Market, Mogadishu, Somalia pada 3 dan 4 Oktober 1993.



Disiarkan pada: Julai 31, 2022 @ 10:09am




Pages: [1]
View full version: Sambutan Hari Pahlawan 2022 meriah, penuh istiadat


ADVERTISEMENT