Raline Publish time 23-7-2022 12:03 PM

Naikkan had umur kahwin: Langkah pertingkat mutu kesihatan, keselamatan

Naikkan had umur kahwin: Langkah pertingkat mutu kesihatan, keselamatan

https://assets.bharian.com.my/images/articles/2017_MG080717MA033_1658548394.jpg
Langkah menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun dapat membantu mengekang isu negatif babitkan kesihatan dan keselamatan kanak-kanak perempuan. - Foto hiasan



SHAH ALAM: Langkah menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun dapat membantu mengekang isu negatif babitkan kesihatan dan keselamatan kanak-kanak perempuan.

Bagi Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS), dasar progresif itu juga akan dapat membantu mempertingkatkan perkembangan potensi dan pendidikan formal kanak-kanak perempuan.

Semua pihak harus memahami dan sedar akan kepentingan pendidikan formal yang lengkap dapat memberi jaminan masa hadapan yang cerah.

Sehubungan itu PEPIAS memuji Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Keluarga Islam berkaitan had umur perkahwinan dan undang-undang poligami di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Isnin lalu yang menetapkan had umur perkahwinan bagi perempuan Islam dinaikkan daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

Naib Presiden Hal Ehwal Wanita PEPIAS, Nursyaffiqa Najasya Adnan, berkata pihaknya meminta semua negeri melakukan pindaan serupa supaya kanak-kanak di Malaysia mendapat hak yang sama.

"Sebelum ini DUN Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia yang membuat pindaan berkaitan had umur perkahwinan kepada 18 tahun dan kini diikuti oleh DUN Kedah yang menjadi negeri kedua berjaya meluluskan pindaan itu," katanya dalam kenyataan semalam.

Selain itu, Nursyaffiqa berkata, ibu bapa dan penjaga juga disaran untuk memastikan anak-anak tidak terbabit dengan perkahwinan bawah umur.

"Besar harapan kami sebagai sebuah pertubuhan Islam ingin melihat generasi masa hadapan yang lebih sihat, selamat dan hak kanak-kanak terjaga disebabkan tindakan dan ambil berat daripada semua pihak," katanya.

Terdahulu pada Isnin lalu, DUN Kedah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) (Pindaan) 2022 berkaitan had umur perkahwinan dan undang-undang poligami.

Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat dilaporkan berkata pindaan enakmen itu membabitkan umur perkahwinan bagi perempuan daripada 16 tahun dinaikkan kepada 18 tahun serta hukuman poligami tanpa kebenaran mahkamah iaitu dipenjara setahun atau denda RM3,000 berbanding enam bulan penjara atau denda RM1,000 sebelum ini.

"Sekiranya mereka hendak kahwin juga, ada masalah apa pun boleh mohon melalui mahkamah, jika mahkamah mendapati calon itu perlu sangat dibenarkan berkahwin walaupun dia berumur 16 tahun, maka dia boleh berkahwin dengan kebenaran mahkamah," katanya.

Sumber:https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/07/979409/naikkan-had-umur-kahwin-langkah-pertingkat-mutu-kesihatan-keselamatan

Pages: [1]
View full version: Naikkan had umur kahwin: Langkah pertingkat mutu kesihatan, keselamatan


ADVERTISEMENT