Raline Publish time 12-7-2022 01:13 PM

Filem Melayu pertama tembusi festival Locarno

Filem Melayu pertama tembusi festival Locarno

https://assets.bharian.com.my/images/articles/WhatsApp_Image_2022-07-12_at_11.53.45_AM_1657602010.jpg
Stone Turtle adalah filem thriller dramatik yang menggabungkan aksi dan animasi diterajui Bront serta Asmara.

KUALA LUMPUR: Filem Stone Turtle arahan Woo Ming Jin mencatat sejarah apabila menjadi filem bahasa Melayu pertama yang bertanding menerusi anugerah berprestij dunia, Festival Filem Antarabangsa Locarno Ke-75, Switzerland pada Ogos depan.

Selain merebut anugerah utama iaitu Golden Leopard, filem terbitan Greenlight Pictures itu menyaksikan pengarahnya, Ming Jin juga dicalonkan sebagai Pengarah Terbaik.

Pelakon utama, Bront Palarae juga membolosi pencalonan kategori Pelakon Lelaki Terbaik, manakala, bintang Indonesia, Asmara Abigail pula dicalonkan bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi festival yang berlangsung antara 3 hingga 13 Ogos depan.

Pengarahnya, Ming Jin, berkata ia satu perkembangan baik untuk industri perfileman negara, apatah lagi, acara berkenaan dipercayai antara lima festival filem antarabangsa berprestij di dunia.

Ming Jin percaya filem Stone Turtle yang mengetengahkan ramai bakat hebat mampu pergi lebih jauh dengan kekuatan jalan cerita.

"Saya gembira usaha gigih seluruh pasukan berjaya menghasilkan sebuah naskhah yang mampu bertanding di festival berprestij dan bersejarah seperti Festival Filem Antarabangsa Locarno.

"Saya tidak sabar menayangkan filem Stone Turtle di hadapan pembikin filem hebat di Locarno.

"Stone Turtle memulakan langkah yang baik apabila bakal ditayangkan di Piazza Grande, Locarno yang juga lokasi tayangan terbuka mempunyai kapasiti 8,000 penonton.

"Filem ini mengetengahkan kisah keupayaan dalam mengambil risiko, jadi, ia secara tidak langsung mencerminkan semangat di sebalik pembikinan filem ini," katanya.

https://assets.bharian.com.my/images/articles/WhatsApp_Image_2022-07-12_at_11.53.34_AM_1657602007.jpg
Selain merebut anugerah utama iaitu Golden Leopard, filem Stone Turtle menyaksikan pengarah, Ming Jin dicalonkan sebagai Pengarah Terbaik.

Sebelum ini, filem arahan Ming Jin banyak mendapat pujian di litar filem antarabangsa.

Beliau juga pengarah pertama yang mencatat sejarah Malaysia apabila berjaya mewakili negara ke tiga festival filem antarabangsa berprestij iaitu Cannes, Berlin dan Venice.

Filem pertama, Monday Morning Glory pada 2005 pernah ditayangkan di Festival Filem Berlin, manakala filem kedua, Elephant and The Sea (2007) memenangi kategori Hadiah Istimewa Juri, Festival Filem Antarabangsa Torino dan kategori Pengarah Terbaik, Filem Festival DIBA Barcelona, Sepanyol.

Filem ketiganya, Woman on Fire Looks for Water (2009) membolosi kategori Orrizonti di Festival Filem Venice, manakala Tiger Factory (2010) adalah filem Malaysia ketiga dipilih secara rasmi ke Festival Filem Cannes.

Sementara itu, penerbit dan penyunting, Edmund Yeo berkata, ia adalah satu penghormatan besar apabila filem Stone Turtle layak bertanding di Festival Filem Antarabangsa Locarno.

"Sudah ramai wira-wira filem sudah menayangkan karya mereka sepanjang 75 tahun penganjuran festival ini. Ia termasuklah Ryusuke Hamaguchi yang memenangi Anugerah Oscar serta Edward Yang, Wang Bing, Claire Denis dan ramai pembikin filem hebat di dunia.

"Jujurnya, saya teruja filem Stone Turtle menjadi sebahagian daripada tradisi ini. Walaupun berlatarkan kisah di Malaysia dan dihasilkan oleh pengarah tempatan, ia juga menggabungkan bakat besar dari pelbagai negara apabila pelakon utama dari Malaysia dan Indonesia.

"Selain itu, proses penataan bunyi, gred warna dan gubahan muzik dikendalikan oleh pasukan pasca produksi yang hebat dari Thailand.

"Animasi pula dihasilkan oleh pakar dari British yang pernah berkerja di Studio Ghibli yang berpangkalan di Jepun. Ini adalah hasil kerja keluarga Stone Turtle," katanya.

https://assets.bharian.com.my/images/articles/WhatsApp_Image_2022-07-12_at_11.53.54_AM_1657602003.jpg
Bintang Indonesia, Asmara dicalonkan bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Antarabangsa Locarno Ke-75.

Filem Stone Turtle turut menggunakan khidmat penataan seni daripada pembikin filem Flower in the Pocket dan Lelaki Harapan Dunia yang banyak memenangi anugerah iaitu Liew Seng Tat.

Turut meluahkan perasaan bangga, pelakon utamanya, Bront yang tidak sabar berkongsi karya berkenaan dengan penonton.

"Ini berita baik, bukan sahaja untuk pasukan Stone Turtle, tetapi untuk industri perfileman Malaysia.

"Saya gembira untuk Ming Jin dan seluruh pasukan. Saya juga tidak sabar berkongsi filem Stone Turtle dengan semua," katanya.

Selain Bront dan Asmara, Stone Turtle turut dibintangi oleh Amerul Affendi, Maisyarah Mazlan, Alison Khor dan Samara Kenzo.

Stone Turtle adalah filem thriller dramatik yang menggabungkan aksi langsung dan animasi. Ia menceritakan kisah kembara masa seorang wanita dan lelaki di pantai timur. Penggambarannya dijalankan di Terengganu, Januari lalu.

Sumber:https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2022/07/975543/filem-melayu-pertama-tembusi-festival-locarno

Cokoro Publish time 12-7-2022 02:51 PM

filem pasal apa ni? tapi disebabkan latar tempatnya di terengganu so iols akan try tgk

supernaturalee Publish time 10-8-2022 05:05 PM

hensem director dia
Pages: [1]
View full version: Filem Melayu pertama tembusi festival Locarno


ADVERTISEMENT