sfhzuraz Publish time 11-7-2022 10:25 PM

Kapten Amir teruja berucap di simposium

Kapten Amir teruja berucap di simposium

Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo_2022-07-11_16-31-47_1657529482.jpg
Pegawai Agama KD Sri Gombak, Kapten Mohd Amir Ashraff Azmi berucap pada simposium kerohanian sempena eksesais multilateral maritim terbesar dunia Rim of The Pacific (RIMPAC) 2022 yang diadakan di Kepulauan Hawaii



Kuala Lumpur: "Saya sangat teruja dan bangga dapat berucap di hadapan wakil pelbagai negara yang berlainan bangsa dan fahaman. Sebagai satu-satunya wakil beragama Islam dari Malaysia, ia adalah penghormatan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)," ujar Pegawai Agama KD Sri Gombak, Kapten Mohd Amir Ashraff Azmi.
Penerangan itu diberikan beliau di hadapan hadirin pada simposium kerohanian sempena eksesais multilateral maritim terbesar dunia Rim of The Pacific (RIMPAC) 2022 yang diadakan di Kepulauan Hawaii bermula 29 Jun lalu.
Mohd Amir menggunakan peluang keemasan itu untuk memberi penerangan mengenai Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) dan aktiviti kerohanian di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurutnya, dia menjelaskan secara ringkas peranan Kagat sebagai organisasi dakwah dan usaha pengukuhan daya juang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Pada kesempatan itu semalam, saya berkongsi sejarah penubuhan dan penugasan Kagat. Ia bukanlah ceramah berkaitan agama, tetapi lebih memfokuskan tugas dan tanggungjawab Kagat.
"Simposium sebegini diadakan supaya warga ATM dapat berkongsi pengalaman dan pendapat dengan negara lain tanpa menyentuh secara spesifik berkaitan agama," katanya semalam.
Beliau berkata, simposium itu membabitkan wakil dari Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Korea Selatan, Indonesia dan Malaysia.
"Mereka sangat berminat dan teruja mendengar perkongsian daripada wakil Malaysia dan berharap Malaysia akan menghantar lebih ramai wakil pada RIMPAC akan datang," katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro.
Difahamkan simposium itu dirasmikan oleh Ketua Turus Combined Task Force RIMPAC 2022, Vice Admiral Michael Boyle.
RIMPAC 2022 membabitkan penyertaan angkatan tentera laut dari 26 negara dari seluruh dunia dengan pembabitan aset sebanyak 41 kapal permukaan, lima kapal selam, 150 pesawat udara dan hampir 25,000 peserta eksesais.
Objektif eksesais itu menggariskan tumpuan kepada kepentingan meningkatkan kebolehoperasian gabungan pasukan RIMPAC merentasi spektrum penuh operasi ketenteraan bertemakan `Capable, Adaptives, Partners'.
Penganjuran eksesais yang dianjurkan secara dwi tahunan bermula sejak 1971 itu terus mendapat sokongan baik dalam kalangan angkatan tentera laut seluruh dunia yang mengambil bahagian bagi menyatakan pandangan masing-masing dalam konteks keselamatan maritim.
TLDM sebelum ini menghantar Kapal Diraja (KD) Lekir menyertai eksesais RIMPAC 2022 diketuai Pegawai Memerintah, Komander Mohd Asri Dasman.

Disiarkan pada: Julai 11, 2022 @ 4:51pm




TLDM






Pages: [1]
View full version: Kapten Amir teruja berucap di simposium


ADVERTISEMENT