sfhzuraz Publish time 13-6-2022 09:48 PM

Tarikan 'rumah kucing' di masjid

Tarikan 'rumah kucing' di masjid

Oleh Noor Hidayah Tanzizi - Jun 13, 2022 @ 10:39ambhnews@bh.com.my



https://assets.bharian.com.my/images/articles/rumah_kucing_1655087942.jpg
Rumah khas menempatkan kucing di Masjid An-Nasriyah. - NSTP/NOOR HIDAYAH TANZIZI



SITIAWAN: Masjid An-Nasriyah, di sini, membina 'rumah kucing' yang kini menempatkan lebih 15 haiwan itu yang berkeliaran di kawasan masjid berkenaan.
Inisiatif sejak dua bulan lalu itu bukan saja menjadi antara tarikan kepada penduduk setempat, terutama kanak-kanak ke masjid, tetapi juga mengindahkan landskap serta membantu penjagaan kebersihan kawasan masjid berkenaan.
Pengerusi Masjid An-Nasriyah, Datuk Sulaiman Mohamad, 65, berkata, pihaknya mula membina rumah khas berkenaan pada Mac lalu sebelum ia siap dalam tempoh kira-kira sebulan.
Beliau berkata, idea itu tercetus selepas pihaknya menerima aduan orang ramai mengenai bau busuk serta kotoran najis haiwan itu di sekitar kawasan masjid.
"Kucing merupakan haiwan kesayangan Nabi Muhammad SAW dan kami juga tidak sampai hati membuang haiwan itu kerana ada yang sudah lama duduk di kawasan masjid ini.
"Justeru, kami mengambil keputusan untuk membina rumah haiwan itu menggunakan dana tabung sumbangan kariah.
"Rumah ini dilengkapi kandang dua tingkat dengan 16 bilik yang boleh menempatkan kira-kira 30 hingga 40 kucing. Setakat ini, kami memperuntukkan RM250 sebulan bagi menampung kos makanan dan pasir kucing," katanya ketika ditemui, di sini.
Bagaimanapun, Sulaiman memaklumkan buat masa ini, mereka hanya menempatkan kucing di kawasan masjid itu, dan tidak menerima haiwan luar yang dihantar oleh pemiliknya atau mana-mana individu kerana ia membabitkan perbelanjaan agak tinggi.
Namun, beliau berkata, ramai juga yang membuang kucing di kawasan masjid, malah ada sesetengah haiwan itu dibuang dalam keadaan sakit.
"Kami berharap masyarakat ada kesedaran dan tanggungjawab untuk tidak membuang kucing," katanya sambil memaklumkan pihak masjid dibantu doktor haiwan yang akan membuat pemantauan sekali sebulan.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, Masjid An-Nasriyah berkonsepkan dalam taman dan usaha membina rumah kucing yang diserikan dengan lukisan haiwan itu, dapat menarik orang ramai serta mengimarahkan lagi masjid, terutama dalam kalangan kanak-kanak.
"Ia juga dapat membantu mengawal kucing ketika ada ramai jemaah seperti waktu solat Jumaat. Kami akan memasukkan kucing ke dalam rumah itu sebelum waktu solat. Bagi menjana pendapatan, kami juga bercadang menyediakan perkhidmatan 'hotel kucing' pada harga berpatutan.
"Kami turut mengalu-alukan sumbangan wang atau makanan serta keperluan kucing di sini," katanya.
Sementara itu, siak masjid yang juga penjaga rumah kucing berkenaan, Ainol Adnan Mohd Sayuti, 60, berkata beliau dengan bantuan tukang kebun, Abdul Aziz Mohd Nor, 68, berusaha memastikan kawasan Masjid An-Nasriyah dan rumah terbabit sentiasa bersih.
"Kami memberi haiwan itu makan dua kali sehari dan membersihkan najis mereka setiap hari supaya persekitaran bersih dan tidak berbau.
"Lukisan pada dinding rumah haiwan itu adalah inspirasi berdasarkan kucing sedia ada seperti 'Blacky' yang sudah lima tahun tinggal di kawasan masjid ini.
"Kami tidak mengurung kucing itu 24 jam. Kucing dewasa akan berjalan di sekitar kawasan masjid, manakala anak kucing bermain di kawasan rumah. Pada jam 6 petang, kucing akan masuk rumah," katanya.





orangbiasaje Publish time 20-6-2022 09:11 AM

Bagusnya...

Mary_jane Publish time 21-6-2022 03:10 PM

Masjid & surau kan patut buat hebahan kat FB, twitter tu semua. Letak no akaun sekali. Semua dah di hujung jari tinggal kita manfaatkan je teknologi ni semua.
Pages: [1]
View full version: Tarikan 'rumah kucing' di masjid


ADVERTISEMENT