mattzzx Publish time 29-5-2022 02:50 PM

Penduduk 11 taman perumahan bantah bina asrama pekerja asing

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/gfhj5544_1653805138.jpg
Penduduk dari 11 taman perumahan sekitar Bertam mengadakan bantahan bagi menolak cadangan pembinaan kuarters penginapan pekerja berpusat (CLQ). FOTO Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Lebih 50 penduduk dari 11 taman perumahan sekitar Bertam di sini membuat bantahan cadangan pembinaan kuarters penginapan pekerja berpusat (CLQ) berhampiran Taman Mekar Sari kerana bimbang timbul pelbagai masalah sosial dan kesihatan ditimbulkan warga asing kawasan itu.

Minggu lalu, tular di media sosial satu pelan tapak kajian kawasan berhubung cadangan itu yang ia ditentang ribuan penduduk sehingga petisyen dikeluarkan bagi menolak pembangunan kuarters penginapan berkenaan.

Wakil Gabungan Komuniti Bandar Putra Bertam, Mohd Fahmi Rejab berkata, penduduk mengetahui berhubung cadangan pembangunan berkenaan sejak empat bulan lalu.

Sebelum itu, katanya penduduk dimaklumkan bahawa kebenaran merancang sudah diberikan bagi pembinaan Taman Perindustrian Berteknologi Tinggi.

"Kita boleh menerima cadangan itu (Taman Perindustrian Berteknologi Tinggi) kerana kita tidak menentang pembangunan.

"Bagaimanapun, kita tidak dapat menerima cadangan pembinaan asrama pekerja kerana bimbang ia akan mendatangkan pelbagai masalah sosial, terutamanya dari segi keselamatan dan kesihatan dengan kebanjiran warga asing," katanya ketika mengadakan bantahan di sini, hari ini.

Menurutnya, ketika ini di Bandar Bertam Putra sahaja mempunyai 3,800 unit rumah manakala Mekar Sari hampir 4,000 rumah dan masalah akan timbul jika pembinaan asrama pekerja itu menjadi kenyataan.

"Kita difahamkan pelan asal pembinaan kuarters ini keseluruhannya berjumlah tujuh blok dengan ketinggian 10 tingkat yang ia akan menempatkan hampir 18,000 pekerja.

"Melihat kepada jumlah ini sudah tentunya mendatangkan kebimbangan jika benar asrama itu dibangunkan.

"Bukan tiada yang bagus daripada mereka ini (pekerja asing) tetapi dari segi masalah sosial yang akan timbul selepas ini yang kami khuatir kerana tiada sebarang jaminan diberikan, apatah lagi indeks jenayah di kawasan ini tidak begitu tinggi dan bila benda ini berlaku (pembinaan asrama) akan menyebabkan indeks jenayah akan naik yang mengundang pelbagai lagi masalah di kemudian hari," katanya.

Berikutan itu, Mohd Fahmi berharap pemaju dan Majlis Bandaraya Seberang Prai (MBSP) mengkaji semula lokasi cadangan pembinaan asrama pekerja terbabit demi keselesaan penduduk.

"Kita juga sudah menghantar surat bantahan ke pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang serta agensi berkaitan bagi mengambil tindakan lanjut," katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dilaporkan berkata kerajaan negeri mengambil maklum berhubung cadangan pembangunan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, setakat ini kebenaran merancang hanya diberikan kepada sebuah projek taman teknologi yang akan menempatkan industri automotif.

"Setakat ini apa yang dimaklumkan kawasan yang dimaksudkan akan dibangunkan ' Penang Technology Park' yang ia sudah dimasukkan dalam kebenaran merancang bagi fasa pertama," katanya.

Difahamkan, projek pembangunan itu yang dalam kelulusan mendapatkan kebenaran merancang mempunyai dua pakej.

Pakej pertama membabitkan cadangan membina 45 unit plot industri dan tiga blok asrama pekerja 10 tingkat, manakala pakej kedua membabitkan cadangan membina 99 unit plot industri dan empat blok asrama pekerja 10 tingkat yang keseluruhannya berjumlah 977 unit.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/05/846832/penduduk-11-taman-perumahan-bantah-bina-asrama-pekerja-asing
Pages: [1]
View full version: Penduduk 11 taman perumahan bantah bina asrama pekerja asing


ADVERTISEMENT