Raline Publish time 28-5-2022 12:59 PM

Duda, janda bukan jenaka

Duda, janda bukan jenaka

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/pexels-d%C6%B0%C6%A1ng-nh%C3%A2n-1510149webb_1653346813.jpg
Henti label buruk serta kata-kata nista terhadap ibu atau bapa tunggal walaupun sekadar untuk bergurau

"MAKANLAH, ini lauk yang aku beli di kedai janda seberang jalan tu," atau "Kau tengok duda tu, bukan main segak lagi keluar dari kereta,"

Mungkin kita sudah terbiasa mendengar ayat-ayat seperti ini yang seakan-akan mempermainkan status seseorang itu selepas bergelar ibu atau bapa tunggal.

Sebenarnya, topik ini dibicarakan apabila ada rakan penulis yang menceritakan mengenai tipisnya sensitiviti seseorang itu apabila memberi jolokkan janda atau duda dalam konteks perbincangan yang berbau negatif.

Ahli Daftar Kaunseling Profesional United Kingdom dan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, stereotaip dan stigma atau prasangka buruk terhadap golongan duda, janda dan ibu tunggal bukan sesuatu yang unik dalam kelompok masyarakat kita sahaja.

Jelasnya, di negara maju isu ini turut menjadi penyakit sosial yang sukar diubati.

"Di United Kingdom, kajian Dr Nicola Carroll dari Universiti of Huddersfield mendapati ibu tunggal dan wanita yang tidak lagi berkahwin acap kali berasa terasing, terhina dan kecewa dengan stereotaip negatif serta kata-kata nista yang dilontarkan di tempat kerja atau dalam komuniti mereka.

"Penyelidikan Profesor Laurie Essig di Amerika Syarikat pula mendapati perceraian semakin dilihat sebagai tanda keibubapaan yang buruk dan kegagalan psikologi, terutama dalam kalangan wanita yang berpendidikan dan berkerjaya," katanya.

Dr Airil berkata, di rantau ini dan dalam masyarakat Malaysia khasnya, kita semua perlu memainkan peranan dan menghentikan label buruk serta kata-kata nista terhadap golongan ini, walaupun sekadar untuk berjenaka dan bergurau.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/pexels-monstera-5996910_1653346805.jpg
SETIAP individu mahukan keluarga yang sempurna.

"Isu ini tidak rumit sebenarnya. Ada perkara kita boleh rasakan lucu dan ketawa sama-sama. Tetapi, ada pula hal seperti status perkahwinan orang lain tidak boleh dibuat main. Apa yang lucu sangat dengan kisah ibu tunggal yang ditinggalkan suaminya?

"Adakah setiap wanita yang berstatus janda itu sedang gigih mencari suami orang untuk digoda dan dinikahi? Ini masalahnya bila pegangan agama dan moral sekadar di mulut sahaja. Menuduh orang lain dan mengetawakan kekurangan orang lain apakah hukumnya?" katanya.

Jelasnya, orang yang hobinya bergosip mengenai janda dan ibu tunggal, khasnya lelaki, mungkinkah mereka ini menunjukkan ciri-ciri pemangsa seksual?

"Untuk wanita pula, adakah dengan syak wasangka dan menghina wanita lain yang kurang bernasib baik menjadikan anda orang yang hebat serta berjaya dalam hidup?" katanya.

Katanya, hidup dalam dunia yang penuh pengaruh buruk media sosial mendedahkan kita kepada 1001 dilema, konflik dan masalah orang lain.

"Mungkin ramai yang ingin membantu, ramai pula yang hanya ingin menuding jari dan seolah-olah teruja dengan kekurangan hidup orang lain.

"Di tempat kerja, dalam komuniti atau masyarakat seluruhnya, kita perlu ambil inisiatif untuk berubah menjadi lebih matang. Matang yang paling bermakna adalah matang dalam fikiran dan tindakan, bukan sekadar di lidah," katanya.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/pexels-keira-burton-6147132_1653346810.jpg
SETIAP individu perlu dihormati.

Katanya, kematangan ini akan menginsafkan kita akan untung nasib hidup orang lain, terutama mereka yang menghadapi dugaan hidup seperti ibu tunggal, lelaki atau wanita yang gagal dalam perkahwinan. Tidak ada yang melucukan dan perlu dibuat jenaka dalam konteks ini.

"Paling tidak, kalau kita tidak mahu membantu mereka pun hentikan stereotaip, stigma dan prasangka buruk terhadap mereka. Dalam kita mengetawakan kekurangan hidup orang lain, yakinkah kita bahawa hidup kita akan kekal gembira dan bahagia sampai mati?" katanya.

Tambahnya, kegagalan dalam perkahwinan, kematian suami atau isteri, menjadi ibu atau bapa tunggal, semua ini bukan pencapaian dalam hidup seseorang.

"Cabaran dan dugaan yang dirasai oleh yang empunya diri, kadangkala tidak terungkap dengan kata-kata dan amat berat bahu yang memikulnya.

"Kita sebagai orang luar yang tidak tahu apa-apa, kalau pun tidak dapat berempati dengan mereka atau membantu mereka yang ditimpa nasib malang ini, paling tidak gigit lidah dan tahan diri daripada memangsakan mereka dengan kata-kata kita walaupun sekadar mengusik atau melawak," katanya.

Tambahnya,jangan sampai suatu hari kita pula yang diduga dengan cabaran dan dugaan yang maha berat. Ingat, mereka yang tidak mengasihani tidak akan dikasihani, di langit dan di bumi.

"Sering kita dengar kata-kata yang kurang manis terhadap janda dan ibu tunggal. Ada kalanya kata-kata itu dilabel 'sekadar' melawak atau 'hanya' bergurau. Ada masanya kata-kata yang digunakan tidak lain tidak bukan hanya untuk memprovokasi dan bersifat gangguan seksual.

"Masalahnya, isu ini seakan-akan tidak pernah selesai dan selagi ada wanita yang melalui proses penceraian selagi itu perkataan dan ayat yang bersifat stereotaip, stigma atau memburukkan status janda dan ibu tunggal akan kita dengar," katanya.

Katanya, kita yang mendengar perlu sama-sama mengambil langkah proaktif dan berhenti memberi label buruk kepada wanita ini.

"Tidak kira lelaki mahupun wanita sendiri, mari kita hentikan perbuatan yang sebenarnya memangsakan indivdu ini.

"Jangan ingat kata-kata kita tidak memangsakan orang lain apabila realitinya setiap satu perkara yang disebut di lidah boleh menyakitkan hati, memalukan justeru merendahkan harga diri orang lain!," katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/WM/2022/05/845018/duda-janda-bukan-jenaka

putericahaya999 Publish time 29-6-2022 11:40 PM

Saya setuju.... xda pasal2 je

totokreturn. Publish time 10-7-2022 06:44 PM

kesabaran mereka Inn sha Allah diberikan pahala yg banyak even kita tahu byk mana
Pages: [1]
View full version: Duda, janda bukan jenaka


ADVERTISEMENT