Raline Publish time 28-5-2022 12:43 PM

Derita gangguan tiroid

Derita gangguan tiroid

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo6077981913798258694_1653433203.jpg
IODIN radioaktif antara ujian mengesan penggunaan iodin oleh kelenjar tiroid.

GEJALA hipertiroidisme yang berkait rapat dengan penyakit lain seperti gangguan kedatangan haid dan masalah psikologi seperti kemurungan serta keresahan melampau menyebabkan ia tidak dapat diagnosis secara tepat oleh pengamal perubatan.

Tidak hairanlah penemuan baru-baru ini menjangkakan kira-kira 50 peratus pesakit yang mengalami masalah tiroid tidak didiagnos mengalami penyakit itu atas faktor berkenaan.

Menurut Pakar Perunding Endokrin dan Perubatan Dalam Regency Specialist Hospital Johor Bharu, Dr Luqman Ibrahim, situasi berkenaan boleh merisikokan pesakit apatah lagi jika mereka menghadapi penyakit tiroid lebih serius.

"Selepas diabetes, hipertiroidisme adalah penyakit endokrin yang paling kerap dihadapi rakyat Malaysia iaitu kira-kira 2.1 populasi di negara ini menghadapi masalah ini.

"Sadisnya pesakit hipertiroidisme menderita bertahun-tahun tanpa didianogsis dengan tepat dan menyebabkan mereka tidak menerima rawatan yang wajar.

"Menerusi statistik terbaharu mendapati kira-kira separuh daripada pesakit tidak pernah didiagnosis memungkinkan risiko lebih buruk terhadap kesihatan pesakit terbabit," katanya.

Sempena sambutan Hari Tiroid Sedunia yang diraikan pada 25 Mei setiap tahun, pakar itu berpendapat, kempen kesedaran mengenai penyakit hipertiroidisme perlu dipergiatkan bagi mengelak penyakit itu berterusan tidak diagnosis dengan awal dan ia dapat ditangani dengan baik menerusi rawatan yang sesuai.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo6077981913798258695_1653433208.jpg
PENGAMBILAN garam dan makanan laut antara makanan perlu dielak pesakit hipertiroidisme.

Kata pakar itu, hipertiroidisme yang tidak dikesan awal dan dirawat boleh menyebabkan komplikasi penyakit lebih serius seperti jantung, strok dan darah beku yang berlaku secara tiba-tiba.

"Dalam kebanyakan kes, simptom ini mungkin tidak menimbulkan kebimbangan kepada sesetengah rakyat Malaysia dengan ramai yang beranggapan bahawa ia hanya satu fasa atau gangguan kitaran haid terutama dalam kalangan wanita.

"Selain itu, masalah hipotiroidisme kerap didiagnosis sebagai masalah psikologi seperti kemurungan atau keresahan melampau. Akibatnya, ramai yang tidak menjalani saringan atau ujian pengesanan hipertiroidisme.

"Hipertiroidisme yang tidak dirawat boleh menyebabkan fibrilasi atrium atau kegagalan jantung, ketumpatan tulang yang rendah dan kematian akibat kegagalan pelbagai organ yang turut dikenali sebagai ribut tiroid.

"Ribut tiroid jarang berlaku, tetapi berisiko tinggi mengancam nyawa dan selalunya berpunca daripada masalah hipertiroidisme yang serius," katanya.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo6077981913798258700_1653433206.jpg
KELENJAR tiroid merembes hormon berlebihan menyebabkan mengalami gejala hipertiroidisme.

Kata pakar berkenaan, tanda-tanda yang boleh dikaitkan dengan penyakit terbabit ialah demam dengan suhu yang tinggi, degupan jantung tidak teratur atau laju, tekanan darah tinggi, muntah, cirit-birit yang memerlukan rawatan perubatan segera dan kecemasan.

Menjelaskan punca atau bagaimana penyakit itu berlaku, kata Dr Luqman, pada keadaan normal terdapat kelenjar kecil berbentuk rama-rama yang terletak di leher anda yang menghasilkan hormon untuk proses metabolik dan pertumbuhan.

"Hipertiroidisme disebabkan pengeluaran hormon yang berlebihan berlaku pada kelenjar yang berada pada bahagian leher pesakit.

"Kelenjar tiroid berperanan penting dalam merembes hormon bagi proses metabolik dan pertumbuhan individu. Tetapi, dalam keadaan tertentu kelenjar berkenaan boleh mengalami gangguan menyebabkan ia menghasilkan hormon secara berlebihan.

"Perubahan boleh dilihat bermula dengan penurunan berat badan, kadar denyutan jantung yang cepat, keletihan atau haid yang tidak teratur sebelum kepada komplikasi lebih serius tanpa dirawat,"katanya.

Saranan beliau sebaik-baiknya menjalani ujian darah bagi memastikan sama ada gejala dialami bukan berpunca dari masalah hipertiroidisme.

"Jika anda mengesyaki gejala dialami berkait dengan hipertiroidisme atau mengetahui ada ahli keluarga mengalami penyakit tiroid, penting untuk mereka jalani ujian atau saringan penyakit ini.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo6077981913798258677_1653433211.jpg
DR Luqman

"Saya sarankan pesakit bertemu doktor dan jalani ujian darah yang mudah. Menerusi ujian berkenaan pakar perubatan akan dapat bacaan tahap hormon tiroid iaitu tiroksin (T4) dan hormon perangsang tiroid (TSH).

"Dalam kes tertentu ada juga keperluan menjalani saringan iodin radioaktif bagi mengetahui jumlah iodin yang diambil kelenjar tiroid. Jadikan ujian ini sebahagian daripada rutin pemeriksaan tahunan bagi memastikan paras hormon dalam keadaan stabil," katanya.

Rawatan bagi pesakit hipertiroidisme kata pakar itu lagi, ia bergantung terhadap keadaan pesakit.

"Hipertiroidisme biasanya ditangani menerusi ubat penurun hormon tiroid yang boleh diambil secara lisan atau suntikan. Ada juga menjalani prosedur ablasi kelenjar tiroid dengan iodin radioaktif atau pembedahan pembedahan kelenjar tiroid (thyroidectomy) jika kelenjar itu menonjol.

"Ia bergantung kepada beberapa faktor seperti tahap serius gangguan tiroid dialami atau keadaan pesakit," katanya.

Pakar itu juga tidak menolak pengambilan makanan yang sihat juga perlu diamalkan pesakit.

"Dalam kes yang jarang berlaku, tiroid boleh menjadi terlalu aktif jika makan terlalu banyak makanan yang mengandungi iodin seperti garam meja, ikan dan rumpai laut.

"Kena pantau gejala dan simptom selain bertemu doktor untuk tangani masalah hipertiroidisme," katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/WM/2022/05/845366/derita-gangguan-tiroid

Pages: [1]
View full version: Derita gangguan tiroid


ADVERTISEMENT