Raline Publish time 28-5-2022 12:41 PM

Merawat asma secara berkesan

Merawat asma secara berkesan


https://assets.hmetro.com.my/images/articles/Asma_3_1653689644.jpg
RAMAI masih tidak menyedari akibat daripada asma yang tidak terkawal.

ASMA mungkin dianggap sebagai suatu penyakit 'normal' dan tidak memerlukan rawatan segera.

Bagaimanapun, ramai tidak menyedari akibat daripada hidup dengan asma yang tidak terkawal dan tidak diberikan rawatan secukupnya atau lebih buruk lagi, menghidap asma kategori teruk adalah tahap paling serius bagi penyakit itu.

Kira-kira dua juta rakyat Malaysia menghidap asma dan 90 peratus pesakit ini diklasifikasikan sebagai kes tidak terkawal, risiko mereka mengalami tahap kesihatan yang buruk dan jangka hayat pendek adalah tinggi.

Setiap tahun jumlah rakyat Malaysia yang kehilangan nyawa akibat komplikasi berkaitan asma mencapai empat angka dengan hampir 1,700 kematian pada 2014 sahaja.

Angka ini mungkin dianggap kecil jika dibandingkan dengan punca kematian yang lain di negara ini, namun adalah penting untuk diberi perhatian bahawa kematian berkaitan asma kebanyakannya boleh dielak.

Pengelasan tepat adalah langkah pertama yang perlu diambil bagi merawat dan mengurus asma secara berkesan. Asma diklasifikasikan mengikut tiga tahap keterukan iaitu ringan, sederhana dan teruk.

Tahap keterukan itu biasanya dinilai sejauh mana asma pesakit itu boleh dikawal, serta jenis dan dos ubat yang diperlukan seseorang pesakit bagi mengawal asma dihidapinya.

Pakar Perunding Kanan Perubatan Respiratori Hospital Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Dr Mat Zuki Mat Jaeb berkata, tahap kesedaran dalam kalangan orang ramai bahawa asma wujud dalam tiga tahap keterukan yang berbeza masih rendah.

"Setiap tahap memerlukan pendekatan rawatan yang berbeza. Pesakit asma teruk memerlukan perhatian khas kerana mereka lebih cenderung untuk mengalami serangan asma yang lebih kerap walaupun mempunyai kemahiran penggunaan inhaler yang betul.

"Hal ini disebabkan faktor lain yang menyumbang kepada keadaan asma teruk mereka," katanya.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/Asma5_1653689647.jpg
INFOGRAFIK penyakit asma di Malaysia

Jelasnya, pesakit yang menghidap asma teruk bukan sahaja terpaksa berdepan masalah gejala dan gangguan tidur setiap hari, malah keupayaan mereka untuk melakukan aktiviti harian juga adalah terhad.

"Mereka turut dibebani dengan kebergantungan terhadap ubat yang memberikan kelegaan segera seperti inhaler dan steroid oral (OCS) pada setiap hari selain untuk jangka panjang.

"Rawatan OCS sebenarnya boleh mendatangkan kesan buruk kerana pendedahan jangka panjang terhadap OCS boleh membawa kepada pelbagai risiko kesihatan seperti kencing manis, penyakit tulang rapuh (osteoporosis), penyakit jantung dan peningkatan berat badan," katanya.

Katanya, jurang kesedaran ini boleh menyebabkan pengurusan yang kurang efektif dalam kebanyakan kes asma, sekali gus menjadi penghalang dalam usaha meningkatkan tahap kesihatan pesakit.

"Kami turut mendapati bahawa ramai pesakit asma tidak cukup bermotivasi untuk mengawal penyakit mereka.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/Asma_1_1653689649.jpg
DR MAT ZUKI

"Sementara itu, ada sesetengah pesakit yang menggunakan asma sebagai alasan untuk tidak melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam atau mengelak daripada pergi ke sekolah atau bekerja," katanya.

Justeru itu, bagi menambah baik rawatan asma yang teruk di Malaysia, Dr Mat Zuki mengetuai PRECISION Severe Asthma Working Group dengan kerjasama AstraZeneca Malaysia yang turut membabitkan pakar perubatan respiratori terkemuka dan ahli profesional kesihatan lain yang mengamalkan perubatan di institusi awam tempatan.

Menerusi kumpulan ini, Dr Mat Zuki dan rakan setugasnya membangunkan satu rangka kerja penting bagi meningkatkan keupayaan diagnosis, pengurusan penyakit dan sistem rujukan pakar bagi penghidap asma yang teruk di seluruh negara.

Di samping itu, mereka juga berusaha mencapai kata sepakat dalam kalangan pakar tempatan bagi membimbing proses penubuhan klinik yang menyediakan rawatan khusus dan berkualiti untuk pesakit asma teruk.

Sementara itu, Presiden Negara AstraZeneca Malaysia, Dr Sanjeev Panchal berkata, program PRECISION ialah satu inisiatif global pihaknya bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak bagi membentuk dan memperbaiki hasil penjagaan kesihatan bagi pesakit asma.

"Di Malaysia, PRECISION Severe Asthma Working Group menumpukan usaha dalam mempercepatkan sistem rujukan kesihatan untuk membolehkan penyampaian penjagaan yang lebih berkesan, mengembangkan keupayaan membuat diagnosis tepat, meluaskan keupayaan merawat asma yang teruk dan meningkatkan kesedaran berkenaan asma teruk sebagai penyakit serius yang memerlukan lebih perhatian daripada penggubal dasar," katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/WM/2022/05/846368/merawat-asma-secara-berkesan

Pages: [1]
View full version: Merawat asma secara berkesan


ADVERTISEMENT