mattzzx Publish time 26-5-2022 03:30 PM

Seludup 119 PATI Rohingya dalam petak ikan bot nelayan

https://assets.bharian.com.my/images/articles/Zue_sendphoto_1653548133_1653549039.jpg
Sebahagian daripada 119 PATI etnik Rohingya disembunyikan di bahagian ruangan petak ikan di bawah lantai bot nelayan tempatan untuk menyeludup masuk ke negara ini dan ditahan di perairan Sungai Kedah oleh APMM Maritim Kuala Kedah.NSTP/IHSAN PDRM

ALOR SETAR: Dua penjawat awam di antara empat lelaki tempatan ditahan pihak berkuasa selepas dikesan bersekongkol membawa masuk 119 pendatang tanpa izin (PATI) etnik Rohingya ke negara ini secara haram.

Mereka berbuat demikian dengan menyembunyikan kumpulan PATI itu dalam ruangan petak ikan di bawah bot nelayan tempatan semata-mata mengelak dikesan.

Namun, helah itu dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM Zon Maritim Kuala Kedah ketika melakukan rondaan Op Aman di kawasan perairan Sungai Kedah di sini, jam 9.20 malam kelmarin.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad, berkata susulan itu, empat lelaki tempatan termasuk dua penjawat awam terbabit, berusia 32 hingga 39 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan membawa masuk pendatang terbabit.


Beliau berkata, kesemua etnik Rohingya yang ditahan berusia antara lima hingga 38 tahun dengan pecahan 47 lelaki dewasa, 32 wanita dewasa, 17 kanak-kanak lelaki dan 23 kanak-kanak perempuan.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan Polis Kedah untuk mengenal pasti bagaimana mereka masuk ke sini dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Hassan berkata, empat lelaki itu kini disiasat mengikut Seksyen 26A, Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) kerana disyaki mendalangi penyeludupan migran.

Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara 15 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Katanya, ketika ini mereka ditahan reman selama 28 hari mengikut Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di bawah Seksyen 4(5) selama tempoh 28 hari.

"Kesemua PATI yang ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara hingga lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-

duanya serta boleh dikenakan sebatan," katanya.

Wan Hassan berkata, Polis Kedah sentiasa menjalankan siasatan secara adil dan telus terutamanya isu-isu yang membabitkan keselamatan dan imej negara.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai memberi maklumat dan tidak membuat sebarang spekulasi ke atas kes ini.

"Sebarang maklumat perlakuan jenayah boleh disalurkan terus dengan menghubungi talian Mers 999 atau hadir ke mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/05/959591/seludup-119-pati-rohingya-dalam-petak-ikan-bot-nelayan
Pages: [1]
View full version: Seludup 119 PATI Rohingya dalam petak ikan bot nelayan


ADVERTISEMENT