mattzzx Publish time 26-5-2022 03:22 PM

Jumpa bangkai tikus, kilang kopi dan teh diarah tutup

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/bangkaitikus_1653548402.jpg
MOHD Wazir menunjukkan bangkai tikus yang ditemui. FOTO Danial Saad

Bukit Mertajam: Penemuan bangkai tikus yang dipercayai sudah mati sejak tiga hari lalu serta persekitaran premis yang berada pada tahap kurang memuaskan menyebabkan sebuah kilang kopi dan teh di kawasan pekan lama, di sini, ditutup selama dua minggu berkuat kuasa hari ini.

Keadaan itu terbongkar dalam operasi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menerusi Op Tegar kira-kira jam 10 pagi tadi.

Dalam operasi dengan kerjasama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu, pihak berkuasa menemui bangkai tikus di bahagian stor penyimpanan produk yang sudah siap dibungkus.

Dalam pada itu, pemeriksaan juga menemui penggunaan logo halal yang meragukan pada pembungkusan produk yang dikeluarkan kilang berkenaan.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan JKNPP, Inspektor Kesihatan Mohd Wazir Khalid berkata, serbuan dijalankan melalui hasil aduan awam sebelum mendapati terdapat pelbagai kesalahan dilakukan pengusaha kilang yang sudah beroperasi sejak 50 tahun lalu.

"Kesalahan itu antaranya penemuan najis dan bangkai tikus serta tahap kebersihan kilang yang tidak mencapai piawaian di bawah Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM).

"Selain masalah najis dan bangkai tikus, kilang ini tidak sepatutnya mendapat pengiktirafan menggunakan logo halal.

"Dalam hal ini, kita merujuk perkara berkenaan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut," katanya selepas operasi berkenaan, di sini, hari ini.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/bangkaitikus1_1653548406.jpg
KEADAAN tempat memproses kopi kilang di Bukit Mertajam yang kotor. FOTO Danial Saad

Beliau berkata, serbuan itu juga turut mengesan kesalahan lain antaranya peralatan yang digunakan tidak mematuhi standard ditetapkan kerana ada sebahagian diperbuat daripada besi tahan karat dan ada daripada kayu saja.

"Keadaan lantai di juga berlopak dan ada takungan air yang kita khuatir ia akan menyebabkan berlakunya percikan terhadap produk minuman yang belum dibungkus sekali gus boleh menyebabkan pencemaran makanan.

"Produk ini dipercayai dipasarkan untuk pasaran tempatan," katanya.

Mohd Wazir berkata, berikutan pelbagai kesalahan itu pihaknya mengambil tindakan menutup premis berkenaan selama dua minggu di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 bagi kerja-kerja pembersihan.

"Selain itu, kita turut mengeluarkan tiga kompaun bernilai RM5,000 terhadap pemilik premis itu atas kesalahan menggaji pekerja tanpa suntikan tifoid serta tidak memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) yang sepatutnya.

"Pada masa sama, kita juga mengambil sampel produk teh untuk dianalisis sama ada ia mengandungi bahan pewarna yang dibenarkan atau tidak," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/05/845866/jumpa-bangkai-tikus-kilang-kopi-dan-teh-diarah-tutup
Pages: [1]
View full version: Jumpa bangkai tikus, kilang kopi dan teh diarah tutup